OPPO menerusi laman Weibo rasminya telah mengumumkan kehadiran telefon pintar boleh lipat baharunya, Find N3 Flip. Menurut OPPO, telefon pintar berkenaan akan dilancarkan di pasaran China pada 29 Ogos 2023 bersama-sama peranti boleh pakai andalannya yang terkini, OPPO Watch 4 Pro.
Berdasarkan imej yang dikongsikan, telefon pintar ini masih mengekalkan paparan menegak seperti model sebelumnya. Cuma untuk versi kali ini, terdapat gugusan tri-kamera yang disusun dalam satu bulatan besar bersebelahan dengan skrin luaran berkenaan.
Bagaimanapun tiada sebarang spesifikasi dikongsikan oleh pihak syarikat setakat ini. Oleh itu, tidak diketahui apakah perubahan yang ada pada skrin luaran berkenaan serta sensor-sensor untuk kamera-kamera tersebut.
Rekaan dalamannya juga tidak diketahui kerana bahan promosi OPPO Find N3 Flip tidak menunjukkan bahagian dalam apabila telefon pintar berkenaan apabila dibuka. Jika khabar angin di internet sebelum ini tepat, dijangkakan bahagian paparan dalamannya mempunyai satu bahagian berpenebuk lubang pada sebelah atas skrinnya yang menempatkan sebuah kamera.
Lain-lain ciri visual yang jelas kelihatan termasuklah logo Hasselblad pada kamera luarannya bersama-sama warna keemasan telefon pintar boleh lipat terkini dari OPPO ini.
OPPO Watch 4 Pro akan dilancarkan minggu depan
Seperti yang dinyatakan tadi, OPPO akan turut melancarkan peranti boleh pakai baharunya, Watch 4 Pro bersama-sama Find N3 Flip. Maklumat mengenainya juga tidak banyak diketahui.
Melalui foto promosinya, kelihatan jam tangan pintar ini akan mempunyai paparan melengkung bersama-sama badan yang diperbuat daripada keluli tahan karat dengan crown boleh putar dan satu butang pada sisi kanannya. Turut ditunjukkan, jam tangan pintar ini akan mempunyai pilihan tali daripada silikon dan kulit.
OPPO dijadualkan akan melancarkan OPPO Find N3 Flip dan Watch 4 Pro pada minggu hadapan, 29 Ogos 2023. Berdasarkan dari imej iklan acahnya, acara tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang di China dan akan disiarkan secara langsung menerusi laman web rasmi OPPO. Ketersediaan OPPO Find N3 Flip dan OPPO Watch 4 Pro di pasaran antarabangsa termasuk Malaysia masih lagi belum diumumkan setakat ini.