Utama Android Oppo Ulasan OPPO Find N2 Flip: Telefon Pintar boleh lipat ‘Clamshell’ dari OPPO

Ulasan OPPO Find N2 Flip: Telefon Pintar boleh lipat ‘Clamshell’ dari OPPO

683
0

Pasaran telefon pintar boleh lipat kian rancak di dalam arus perdana yang sebelum ini diterajui oleh Samsung. Bermula dari 2022, beberapa pengeluar-pengeluar lain seperti Motorola, HONOR, dan OPPO telah mula memperkenalkan peranti boleh lipat masing-masing dengan keunikan yang tersendiri.

OPPO tidak ketinggalan memperkenalkan telefon pintar boleh lipatnya sendiri melalui OPPO Find N2 Flip. Ia dilihat sebagai alternatif yang paling sepadan dengan siri Samsung Galaxy Z Flip.

Rekaan

Sungguhpun gaya lipatan Find N2 Flip ini sama dengan Galaxy Z Flip, ia mempunyai beberapa perbezaan yang menjadikannya unik. Paling ketara adalah pada paparan luarannya dan juga engsel di tengahnya.

Skrin paparan di luarnya dilihat agak besar dengan separuh permukaan apabila dilipat dipenuhi dengannya. Separuh lagi dari ruangan tersebut pula menempatkan dua modul kamera belakang telefon pintar ini.

Permukaan belakangnya ini juga diberikan kemasan berglos dan agak licin apabila dipegang. Ini berdasarkan unit ulasan yang kami terima ini yang berwarna ungu cair. Mungkin pilihan warna satu lagi, Astral Black tidak licin sebegitu kerana dikhabarkan ia mempunuyai kemasan matte yang lebih kesat berbanding glos.

Untuk keluaran yang akan datang, OPPO mungkin perlu menyediakan lebih banyak pilihan warna untuk siri Find N2 Flip ini. Hal ini kerana telefon pintar dengan rekabentuk sebegini lebih sesuai untuk kelompok pengguna yang menitik beratkan gaya dan fesyen. Pilihan warna yang lebih kepelbagaian dapat memberikan citarasa yang lebih meluas pada pandangan pengguna.

Tambahan pula, OPPO Find N2 Flip dalam bentuk berlipat lebih kemas kerana tiada ruang berjarak pada bahagian engselnya. Ini amat berbeza dengan Galaxy Z Flip yang mempunyai ruang renggang tersebut yang berpotensi menjadi tempat mengumpulkan habuk. Selain tiada bahagian yang renggang, Find N2 Flip juga lebih ‘lembut’ dan lancar pergerakannya apabila dilipat dan anda yang bertangan besar mungkin boleh membuka dan menutupnya dengan sebelah tangan sahaja.

Pun begitu, agak sayang telefon pintar boleh lipat dari OPPO ini tidak mempunyai penarafan IPX untuk kerintangan air dan debu yang mampu meningkatkan tahap kelasakannya.

Untuk bahagian engselnya pula, OPPO menyatakan mekanisme melipat buka dan tutup Find N2 Flip mampu bertahan sehingga 400,000 kali. Kami tidak dapat menguji sejauh mana dakwaan tersebut kerana untuk melakukan kerja sebanyak itu mungkin ulasan ini tidak dapat disiapkan sehingga Raya Aidilfitri tahun depan.

Masih lagi mengenai engselnya, dalam keadaan dibuka sepenuhnya telefon pintar ini boleh digunakan dengan baik seperti biasa, sama seperti telefon bukan boleh lipat lain. Cuma untuk dilipat dalam beberapa sudut tertentu anda perlu melaraskan dengan cermat kerana faktor engselnya yang ‘lembut’ itu tadi.

Skrin dan Perisian

Tumpuan utama OPPO pada model ini dilihat lebih terarah pada melancarkan kepenggunaan telefon pintar boleh lipat berbentuk cengkerang seperti ini. Misalnya pada paparan luaran (cover display) yang tampil seperti skrin telefon pintar berbentuk mini.

Tujuannya bagi menjadikan skrin di luar ini lebih praktikal dan lebih banyak maklumat yang dapat disampaikan kepada pengguna tanpa perlu membuka lipatan untuk melihat skrin di dalamnya. Anda juga boleh memberikan respon segera dan ringkas melalui preset yang boleh ditetapkan.

Pelbagai widget juga disediakan pada skrin luar telefon pintar ini yang merangkumi cuaca, kalendar, notifikasi, perakam suara, pemasa dan juga antaramuka kawalan fon kepala nirwayar yang bersambungan.

Skrin luaran atau skrin kedua ini juga boleh dijadikan sebagai paparan untuk anda melakukan swafoto menggunakan kamera utamanya.

Turut disediakan pada paparan ini ‘haiwan peliharaan’ berbentuk kucing comel berinteraktif yang memberikan anda lebih pilihan unik sebagai alternatif kepada paparan wallpaper biasa.

Cuma apa yang sedikit mengganggu pada skrin hadapan ini adalah widgetnya yang kadang-kadang terlekat tidak berganjak seolah-olah tersekat di situ. Hal ini tidak kerap berlaku, cuma sekali-dua sahaja sepanjang tempoh pengujian kami. Mungkin ia akan dapat diperbaiki melalui kemaskini sistem operasi yang akan datang.

Skrin dalaman

Skrin dalamannya lebih kurang sama seperti kebanyakan yang kita ketemukan pada sesebuah telefon pintar boleh lipat. OPPO Find N2 Flip mempunyai skrin AMOLED 6.8-inci dengan nisbah 21.9 yang amat bersesuaian dengan tarafnya selaku telefon pintar mercu.

Ia juga mempunyai kecerahan puncak 1,600 nits, kadar penyegaran semula 120Hz dan sokongan untuk kandungan HDR10+. Kadar penyegaran semulanya juga adaptif, menggunakan teknologi LTPO bagi melaraskan ke paras paling rendah 1Hz hingga ke paling tinggi 120Hz mengikut keperluan. Warna pada paparannya juga terang dengan perinciannya yang ternyata cukup jelas.

Cuma garis kedutan yang biasa terdapat pada mana-mana telefon pintar boleh lipat masih lagi kelihatan di tengah-tengahnya, namun sangat minimal kesannya. Mungkin kebanyakan pengguna tidak begitu ambil kisah jika sudah terbiasa menggunakannya selepas beberapa ketika.

Melalui penggunaan antaramuka OPPO ColorOS yang berasaskan Android 13, pengendalian operasi telefon pintar ini secara keseluruhannya dirasakan amat lancar. Tambahan pula dengan pilihan pemperibadian yang telah diperluaskan pilihannya, anda kini boleh mengubahsuai tema dan warna mengikut citarasa anda yang lebih tepat seperti menggunakan pek ikon tersuai tanpa perlu memasang pelancar Android (Android launcher) yang berasingan.

Selain itu, aplikasi sarap juga tidak begitu banyak di dalamnya seperti sesetengah pengeluar lain. Di dalam telefon pintar ini kebanyakan aplikasi lalai (default) yang ditetapkan merupakan dari Google sendiri.

Dari segi kefungsian antaramuka spesifik ciri boleh lipat pula, OPPO dilihat tidak begitu memanfaatkan kelebihan bentuk telefon pintar ini. Pun begitu ia masih lagi menawarkan fungsi spesifik asas peranti boleh lipat untuk main semula video YouTube, dan kamera. Paparannya secara automatik akan terbahagi dua dengan sebahagian atas akan menunjukkan visualnya dengan sebahagian lagi akan dikhususkan untuk kawalan seperti butang ‘play’ ‘skip’ dan sebagainya.

Perkakasan, prestasi dan bateri

Selaku telefon pintar mercu, OPPO Find N2 Flip menggunakan pemprosesan mercu keluaran MediaTek, Dimensity 9000+. Pemprosesan ini juga jenis yang sama digunakan pada ASUS ROG Phone 6D Ultimate. Justeru, penggunaannya menjadi amat lancar ditambah lagi dengan kadar penyegaran semula skrin 120Hz.

Ia juga mampu memainkan apa jua permainan mudah alih yang dipasangkan padanya selain mampu memaparkan animasi antaramuka dengan begitu lancar pada skrin di dalamnya tanpa kecacatan.

Kapasiti baterinya pula dikirakan sebagai agak besar jika dibandingkan dengan mana-mana telefon pintar boleh lipat berbentuk cengkerang sepertinya. Berkapasiti 4,300mAh, ia lebih besar daripada model telefon pintar boleh lipat lain seperti Galaxy Z Flip (3,700mAh), Moto Razr 2022 (3,500mAh) mahupun Huawei P50 Pocket (4,000mAh).

Bateri telefon pintar ini juga boleh dicaskan menggunakan teknologi pengecasan pantas OPPO SuperVOOC. Pengecasannya pula boleh memenuhkannya dalam tempoh kurang dari sejam sahaja melalui pengecas 67W yang didatangkan bersama-sama kotak pembungkusannya.

Kamera

OPPO Find N2 Flip didatangkan dengan dwi-kamera yang terdiri daripada satu kamera utama 50MP f/1.8 dan satu kamera ultra-lebar 8MP f/2.3.

Spesifikasi kamera utama pada telefon pintar ini memang sepadan dengan taraf mercunya. Melalui teknologi ‘pixel-bins’ padanya, ia dikatakan mampu menghasilkan piksel yang lebih besar, menjadikan ia berkeupayaan mengambil perincian cahaya, dan warna dari foto dengan lebih baik.

Tiada kamera zum khusus disediakan padanya. Namun dengan sensor utama yang beresolusi tinggi, ia boleh digunakan untuk melakukan pengezuman secara digital sehingga 20x.

Kamera utamanya ini juga boleh mengambil foto dengan amat baik merangkumi warna yang realistik, perincian yang tinggi serta imbangan sorotan dan bayangan dari imej. Selain dari kamera utama, turut disediakan di belakangnya sebuah kamera ultra-lebar.

Dari segi perbandingan, kualiti yang dihasilkan oleh kamera ultra-lebar ini agak ketara perbezaannya dengan kamera utama. Agak tidak sepadan apabila digandingkan bersama-sama.

Tidak dilupakan sebuah kamera hadapan pada paparan utamanya yang menampilkan sebuah kamera 32MP. Ia mampu mengambil foto dengan baik. Namun, memandangkan telefon pintar boleh lipat ini turut mempunyai skrin luaran yang besar bersebelahan dwi-kamera dibelakangnya, anda juga boleh mengambil swafoto terus dari kamera tersebut sambil melihat pra-tonton pada skrin tersebut.

Kesimpulan

Banyak yang menarik sebenarnya tentang pendekatan yang diambil oleh OPPO terhadap telefon pintar boleh lipatnya ini. Paling menarik pastinya pada skrin luarannya yang lebih besar, selain faktor rekaan bentuk dilipatnya yang amat rapat apabila ditutup.

Perisiannya pula mungkin boleh ditambahbaik di masa akan datang dengan memperkenalkan ciri-ciri khusus peranti boleh lipat bagi memanfaatkan sepenuhnya bentuk rekaan uniknya ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.