AirAsia X secara rasminya telah dijenamakan semula dan kini beroperasi di bawah nama baharu, iaitu AirAsia Group Bhd. Pada awal tahun, AirAsia telah mendedahkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menukar nama syarikat penerbangan jarak jauh tersebut.
Perubahan nama berkenaan telah berkuat kuasa secara rasmi pada 2 Julai lalu, susulan kelulusan yang diberikan oleh para pemegang saham sewaktu mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat ke-19 pada 25 Jun lepas.
Walaupun nama baharu itu berkuat kuasa pada 2 Julai, syarikat berkenaan hanya mengumumkan perubahan tersebut kepada umum menerusi sebuah siaran akhbar pada 9 Julai.
Penggabungan Strategik dan Pengoptimuman Operasi
Menurut The Edge Malaysia, nama baharu ini mencerminkan langkah pemerolehan dan penggabungan operasi AirAsia Bhd serta AirAsia Aviation Group Limited daripada Capital A. Transaksi penggabungan perniagaan penerbangan ini telah mula berkuat kuasa pada 18 Januari lalu selepas proses pelupusan perniagaan selesai.
Penyatuan entiti-entiti di bawah satu bumbung ini dijangka membolehkan kumpulan tersebut mengoptimumkan keseluruhan rangkaian penerbangan dan mengukuhkan kecekapan operasi. Pada masa yang sama, langkah ini memastikan syarikat dapat terus menawarkan perkhidmatan perjalanan udara pada harga yang berpatutan kepada pengguna.
Pengerusi AirAsia, Tan Sri Jamaludin Ibrahim menjelaskan dengan jumlah pesawat yang lebih besar, rangkaian laluan yang lebih meluas, serta ketersambungan yang lebih kukuh, syarikat kini berada di posisi yang tepat untuk membuka peluang pertumbuhan baharu. Tambah beliau, peralihan ini akan mencipta nilai yang jauh lebih besar buat para pemegang saham, pemegang taruh, dan para penumpang.
Beliau turut menegaskan penjenamaan semula ini mewakili satu lagi mercu tanda penting (milestone) dalam cita-cita besar syarikat untuk diiktiraf sebagai syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah yang pertama di dunia.
Pencapaian ini akan direalisasikan dengan memanfaatkan sinergi antara rangkaian penerbangan jarak dekat dan jarak sederhana. Selain itu, usaha menyatukan kesemua syarikat penerbangan di bawah kumpulan utama ini akan terus menambah baik ketersambungan laluan dan menjamin pengalaman perjalanan yang lebih lancar.











