‘Orang dalam’ teknologi Evan Blass (@evleaks) semalam telah berkongsikan sejumlah imej baharu OPPO Find N3 Flip, lebih awal dari tarikh pelancarannya di China hari ini.
Salah satu daripadanya menunjukkan kandungan pembungkusan telefon pintar berkenaan yang didapati tidak begitu lokek dengan penawaran, berbeza dengan pesaingnya.
Misalnya, Samsung Galaxy Z Flip 5 dan Galaxy Z Fold 5 hanya diberikan dengan satu kabel USB-C dan pin penolak SIM di dalam kotak pembungkusannya. Ia dikatakan dilakukan atas sebab mengurangkan jejak karbon dan kelestarian alam sekitar.
Jika maklumat yang dikongsikan oleh Evan Blass ini tepat, pemilik OPPO Find N3 Flip tidak perlu membeli aksesori seperti pengecas dan silicon cover secara berasingan kerana kedua-duanya telah disediakan bersama-sama di dalam kotaknya.
— Evan Blass (@evleaks) August 28, 2023
Selain imej telefon pintar boleh lipat OPPO berkenaan, beliau turut berkongsikan imej item-item yang terkandung di dalam kotak pembungkusan OPPO Watch 4 Pro.
Menariknya, tali jam kulit dan silikon disediakan bersekali dengannya. Cuma untuk jam tangan pintar ini, ia disediakan dengan pengecas dan hanya kabel pengecas USB-C to A sahaja.
OPPO Find N3 Flip dan OPPO Watch 4 Pro dijadualkan akan dilancarkan pada hari ini jam 2.30 petang waktu China. Setakat ini tiada maklumat sama ada akan dilancarkan ke pasaran global termasuk Malaysia dalam masa terdekat ini.