Utama Apple Tiada masalah jika gunakan Kabel USB-C Android untuk mengecas iPhone 15

Tiada masalah jika gunakan Kabel USB-C Android untuk mengecas iPhone 15

189
0

Sepanjang minggu ini kecoh dengan isu penggunaan kabel USB-C Android untuk mengecas iPhone 15 yang baharu sahaja dilancarkan. Ia berpunca daripada laporan yang memetik penjual-penjual di China yang melarang pengguna menggunakan kabel USB-C Android untuk mengecas iPhone 15.

Dikatakan penyambung (connector) kabel USB-C Android mempunyai sembilan pin, manakala untuk iPhone 15 pula ia didakwa mempunyai 11 pin dan boleh merosakkan peranti. Dakwaan tersebut tentunya tidak berasas.

Secara asasnya, setiap penyambung (connector) kabel USB-C boleh mempunyai jumlah keseluruhan 24-pin dengan setiap sisi mempunyai 12 pin. Tidak semua kabel mempunyai kesemua 24 pin di dalam penyambungnya. Setiap pin mempunyai fungsinya yang tersendiri dengan bilangan pin ditetapkan mengikut spesifikasi masing-masing seperti USB 3.0 atau 3.2 dan mengikut kelajuannya.

Untuk kabel penyambung 11 pin dan 9 pin sebenarnya menunjukkan dua spesifikasi USB-C yang berbeza. Pin-pin berkenaan di dalam penyambung dan port berkomunikasi antara satu sama lain bagi menentukan jumlah kuasa yang melaluinya.

Pin-pin untuk penyambung USB-C – Imej dari Tech Design Forums

Jika proses jabat tangan (handshake) berkenaan tidak berlaku, tiada sebarang kuasa akan dipindahkan. Seperti biasa, jika penyambung dan port padanya berbeza spesifikasi, prestasinya akan mengambil kira bahagian yang paling rendah. Ia ditetapkan bagi membolehkan sambungan tetap dapat dilakukan walaupun berbeza bilangan pin tanpa merosakkan peranti.

Kesimpulannya, iPhone 15 boleh dicaskan seperti biasa menggunakan mana-mana kabel USB-C asalkan anda menggunakan kabel asli yang mengikut piawaian spesifikasi USB-C dan tidak rosak.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.