Utama Perbankan Peniaga dilaporkan akan dikenakan Caj Transaksi Bayaran Kod QR DuitNow bermula 1...

Peniaga dilaporkan akan dikenakan Caj Transaksi Bayaran Kod QR DuitNow bermula 1 November 2023

232
0

Peniaga-peniaga dilaporkan akan dikenakan bayaran transaksi bagi penerimaan bayaran melalui perkhidmatan DuitNow bermula dari 1 November 2023.

Menurut laporan dari MalaysiaNow tersebut, perubahan tersebut akan diperkenalkan sebagai langkah penstrukturan harga perkhidmatan tersebut dan akan melibatkan kesemua bank. Sebelum ini DuitNow mengenakan kadar tetap RM0.50 bagi transaksi yang melebihi RM5,000.

Memetik dari emel yang diterima dari portal kewangan RHB Reflex, dimaklumkan caj tersebut akan ditolak dari akaun semasa atau simpanan peniaga pada setiap 5 hari bulan dalam setiap bulan.

Tangkapan layar emel berkenaan juga telah dikongsikan oleh pengguna helio666 menerusi X (dahulu dikenali sebagai Twitter) beberapa hari sebelum laporan dari MalaysiaNow tersebut diterbitkan. Tidak dapat dipastikan sama ada MalaysiaNow merujuk kepada tangkapan layar tersebut atau menerima sendiri emel tersebut dari pihak bank.

Menjawab pertanyaan yang diajukan, bahagian khidmat pelanggan Reflex memberitahu MalaysiaNow amaun bayaran yang dikenakan caj bergantung kepada jenis pemindahan. “Jika bayaran dibuat dari akaun semasa atau simpanan, bayaran sebanyak 0.25% akan dikenakan terhadap akaun peniaga tersebut. JIkan pemindahan dibuat menerusi kad kredit, bayaran sebanyak 0.50% akan dikenakan.”

Portal berkenaan juga mendakwa perkara tersebut turut disahkan oleh pihak Maybank. Katanya caj tersebut akan dikenakan untuk pemindahan di antaran bank dan aplikasi menggunakan perkhidmatan DuitNow. Dalam kenyataan yang sama juga, bank berkenaan turut menyatakan tiada sebarang caj akan dikenakan apabila membuat pemindahan menggunakan kod QR Maybank.

Tidak semua bank terlibat

Bagaimanapun bank-bank lain, CIMB dan HSBC memberitahu MalaysiaNow tiada sebarang notis atau memo berkenaan caj terhadap peniaga yang menggunakan DuitNow telah dikeluarkan. HSBC menambah jika terdapat sebarang pengumuman mengenai perkara tersebut, pihaknya akan memaklumkan menerusi laman web rasminya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, BFM melaporkan Public Bank Berhad (PBB) akan mengenakan caj bayaran terhadap peniaga sekitar 0.25% hingga 0.5% jika menggunakan perkhidmatan kod QR Public Bank untuk menerima bayaran dari pelanggan bermula 1 Oktober 2023.

Stesen radio swasta tersebut juga menambah ADUN Johor Chew Chong Sin sedang menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh Public Bank Berhad tersebut. Menurut beliau, caj berkenaan akan menggalakkan bank-bank lain akan mengikuti langkah tersebut selain turut akan membebankan peniaga dan juga orang ramai.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.