Mozilla telah menyertakan fungsi pengurus keselamatan baharu, Lockwise ke dalam terbitan Firefox 76. Antara yang ditawarkan olehnya adalah memberi amaran kepada pengguna mengenai kebocoran kata laluan.
Selain itu, ia juga memaklumkan kepada pengguna jika sudah mengulang pakai sesebuah kata laluan tersebut pada laman-laman web lain.
Pengurus keselamatan ini merupakan kemaskini kepada fungsi Mozilla Lockbox yang menjana, mengurus dan melindungi kata laluan pengguna pada pelbagai perkhidmatan dalam talian.
Ia juga kini melindungi kata laluan yang disimpan dengan meminta pengguna untuk melog masuk ke akaun utama sebelum mendedahkan perincian log masuk pada halaman “Logins and Passwords”.
Selain itu, amaran “Vulnerable Password” akan dipaparkan pada halaman “about:logins” jika akaun pengguna diceroboh. Lockwise juga akan membantu pengguna dengan menjana kata laluan selamat yang menggabungkan 12 aksara abjad, angka dan simbol rawak. Pilihan ini akan diajukan kepada pengguna apabila mewujudkan akaun baru pada sesebuah laman web atau perkhidmatan.
Firefox 76 juga akan hadir dengan fungsi baru seperti mod gambar-dalam-gambar. Fungsi ini membolehkan pengguna menonton video di dalam tetingkap kecil ketika sedang melayari laman web.
Ia juga menyediakan sokongan untuk Audio Worklets yang membolehkan pengguna Firefox menyertai panggilan Zoom di dalam pelayar, tanpa perlu memuat turun aplikasi atau fail tambahan.
Mozilla Firefox 76 kini sedia untuk dimuat turun menerusi laman web rasminya.