Pada tahun 2020 ini, anda mungkin tidak sepatutnya lagi menggunakan pelayar web Internet Explorer. Tahap keselamatannya sangat tidak menyakinkan hingga Microsoft sendiri pun menasihatkan pengguna supaya menggunakan apa sahaja pelayar web jenis lain asalkan bukan Internet Explorer.
Kini, isu terbaru telah timbul pada pelayar web kontroversi tersebut. Microsoft telah mengesahkan penggodam secara aktif mengeksploitasi kerentanan keselamatan yang memberi kesan terhadap pelayar berkenaan.
Microsoft juga turut mengesahkan masalah ini melibatkan seluruh versi Windows termasuk Windows 7 yang baru sahaja ditamatkan sokongannya. Masalah kerentanan ini berpunca dari cara bagaimana Internet Explorer menguruskan memorinya.
Menurut laporan dari TechCrunch, pelayar web Firefox juga mengalami masalah yang sama, namun telah pun diatasi melalui kemaskini terbaru yang diterbitkan oleh Mozilla.
Mozilla dan Microsoft berterima kasih dengan syarikat keselamatan siber berpangkalan di China, Qihoo 360 yang menemukan kerentanan berkenaan pada pelayar-pelayar tersebut.
Bagaimanapun, ketiga-tiga pihak masih lagi belum memaklumkan bagaimana kerentanan tersebut dieksploitasi. Selain itu, tiada juga maklumat mengenai pihak mana yang mengeksploitasi kerentanan berkenaan serta sasarannya. Setakat ini Microsoft tidak mempunyai sebarang tindakan penyelesaian segera untuk masalah ini dan hanya akan menerbitkan patch kerentanan ini pada kemaskini keselamatan Februari nanti.
Apa pun, jika anda masih lagi menggunakan Internet Explorer, sebaiknya anda perlu meninggalkannya sekarang. Anda mungkin perlu beralih ke pelayar seperti Firefox atau Google Chrome yang jauh lebih selamat berbanding Internet Explorer. Jika pun kasih sayang anda terhadap Microsoft adalah terlalu kuat dan tiada tolok bandingnya, sebaiknya anda gunakanlah pelayar Microsoft Edge. Ini pun sudah memadai demi keselamatan anda di masa hadapan.
Sumber berita diperoleh dari TechCrunch