Mozilla merancang untuk menawarkan perkhidmatan langganan berbayar menerusi pelayarnya, Firefox bermula bulan Oktober ini. Dalam satu temubualnya dengan portal T3N, Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Chris Beard, memaklumkan antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah VPN dan storan awanan.
Butiran terperinci mengenai perkhidmatan berbayar ini bagaimanapun masih lagi belum sepenuhnya diselaraskan. Tidak dapat dipastikan sama ada satu perkhidmatan langganan yang merangkumi semua ciri premium, atau setiap perkhidmatan akan dipecahkan menjadi langganan berasingan.
Langkah ini dibuat bertujuan bagi membolehkan Mozilla mempunyai sumber pendapatan kukuh yang lain. Menerusi temubual tersebut, Encik Chris Beard turut menyatakan bahawa kira-kira 90% daripada sumber pendapatan Mozilla adalah datangnya dari syarikat-syarikat enjin carian yang membayar untuk dipaparkan di Firefox.
Secara keseluruhannya, langganan premium ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan lain yang sudah tersedia secara percuma di dalam Mozilla Firefox. Encik Dave Camp, Naib Presiden Kanan Firefox, turut memaklumkan melalui The Verge bahawa pelayar Firefox masih lagi percuma untuk dimuat turun dan digunakan seperti biasa oleh semua pengguna.