Utama Microsoft Majikan, Pengurusan masih beranggapan Pekerja kurang Produktif apabila Bekerja Dari Rumah menurut...

Majikan, Pengurusan masih beranggapan Pekerja kurang Produktif apabila Bekerja Dari Rumah menurut Kajian Microsoft

317
0
Bekerja dari Rumah

Satu kaji selidik dari Microsoft baru-baru ini menunjukkan majikan dan pengurusan tertinggi masih lagi tidak begitu yakin dengan tahap produktiviti para pekerja yang melaksanakan kerja dari rumah. Bagaimanapun, kebanyakan pekerja-pekerja pula tidak beranggapan begitu kerana hasil dan kualiti yang diberikan dianggap sama seperti bekerja di pejabat.

Microsoft menjelaskan terdapat kesenjangan di antara kedua-dua kelompok ini yang diakibatkan oleh ‘paranoia produktiviti’.

Kaji selidik ini dijalankan dengan melibatkan seramai 20,000 responden di 11 buah negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, India, dan China. Berdasarkan hasilnya, 85% pengurusan tertinggi mendakwa cara kerja hibrid (kerja di pejabat + kerja di rumah) tidak membuatkan mereka yakin dengan tahap produktiviti pekerja-pekerja di bawah mereka.

Manakala 87% pekerja pula merasakan produktiviti mereka semakin meningkat sejak kaedah bekerja dari rumah diperkenalkan.

Microsoft kemudiannya menjalankan analisis terhadap bertrillion titik-titik data dan mendedahkan tahap produktiviti sebenarnya meningkatkan jika dibandingkan dengan tahap sebelum pandemik. Tambahan pula, Microsoft mendapati secara purata pengguna Microsoft Teams kini menghadiri 153% lebih banyak mesyuarat berbanding tahun-tahun sebelum arahan bekerja dari rumah diperkenalkan.

“Apabila terdapat majikan yang menggunakan teknologi untuk menjejak aktiviti berbanding hasil kerja, para pekerja tidak dapat mengenalpasti apakah yang dikehendaki oleh para majikan. Ini seterusnya mengurangkan tahap kepercayaan dan membawa kepada ‘bekerja sekadar wayang,” jelas Microsoft.

“Ia juga membawa kepada ‘paranoia produktiviti, di mana pengurusan tertinggi takut kehilangan produktiviti disebabkan oleh anggapan pekerja-pekerjanya tidak bekerja sungguhpun jam bekerja, jumlah mesyuarat dan bilangan aktiviti semakin bertambah,”

Apa yang majikan rasa tidak sama dengan realiti semasa

Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella menyatakan kesenjangan antara kedua-dua kelompok majikan, pengurusan tertinggi dengan pekerja menerusi satu wawancara bersama BBC. Beliau menekankan keperluan untuk menyelesaikan ini sebagai satu ketetapan cara bekerja memandangkan gaya bekerja kini sudah berubah disebabkan pandemik.

“Kita perlu beralih dari apa yang kami jelaskannya sebagai ‘paranoia produktiviti,’ kerana berdasarkan data yang kami ada menunjukkan lebih 80% dari individu perseorangan merasakan mereka amat produktif – hanya pengurusan mereka sahaja yang beranggapan mereka tidak produktif,” kata Satya Nadella.

“Ini bermakna terdapat kesenjangan yang nyata dari segi jangkaan dan apa yang mereka rasakan,”

Dalam pada masa yang sama, Jared Spataro, Naib Presiden Korporat untuk Microsoft 365 menegaskan kepada majalah Fortune mengenai tindakan mengintip pekerja ketika bekerja dari rumah menggunakan teknologi tidak akan menyelesaikan masalah. Malah ia akan memberikan kesan buruk hubungan harmoni antara majikan dengan pekerja.

“Sesetengah pengurusan tertinggi ini ‘rindukan’ kebolehlihatan (visibility) yang biasanya terdapat di dalam pejabat, dan sesetengah syarikat sampai ke tahap memantau apa yang ditaipkan, apa yang digerakkan dengan tetikus dan juga apa yang dipaparkan pada skrin hanya disebabkan oleh paranoia,” jelas Spataro.

“Sungguhpun anda mungkin menerima banyak data dengan cara menjejak aktiviti pekerja sebegini, saya berani jamin data yang diterima adalah salah. Pengawasan sebegini bukan sahaja memberikan data yang salah, malah ia mengurangkan tahap kepercayaan dan merupakan satu faktor kritikal yang membawa kejayaan organisasi. Jika hilang, ia sukar dicari ganti semula,”

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.