Microsoft memaklumkan telah memulakan pengujian iklan di dalam menu Start Windows 11. Pembuat perisian berkenaan akan menggunakan ruangan ‘Recommended’ di dalam menu Start yang pada kebiasaannya menunjukkan fail-fail yang disyorkan bagi mencadangkan aplikasi-aplikasi dari Microsoft Store.
“Ini akan hanya muncul untuk Windows Insiders di dalam Beta Channel di Amerika Syarikat (AS) dan tidak akan terdapat pada peranti-peranti komersil (peranti yang diuruskan oleh organisasi),” menurut Microsoft di dalam sebuah hantaran blog.
Promosi sesebuah aplikasi berkenaan boleh dimatikan di dalam bahagian Settings Windows 11. Namun, ia dilihat telah diaktifkan secara lalai oleh Microsoft. Buat masa ini, Microsoft sedang mendapatkan maklumbalas dari perubahan tersebut.
Justeru, terdapat kemungkinan pihak Microsoft akan membatalkan cadangan meletakkan iklan ke dalam pembangunan bonaan Windows 11 yang akan datang jika mendapat maklumbalas yang negatif.
Microsoft mula menguji iklan di dalam File Explorer Windows 11 pada tahun lepas sebelum mematikan eksperimen tersebut di dalam versi beta kemaskini Windows 11. Eksperimen iklan di dalam Windows telah dilaksanakan oleh Microsoft sejak lebih dari 10 tahun yang lalu.
Sebelum ini sudah terdapat tapak promosi di dalam skrin berkunci dan menu Start Windows 10 dan tidak mengejutkan jika ia membuat kemunculan di dalam Windows 11 juga.