Microsoft baru-baru ini telah mengumumkan akan melaburkan sebanyak US$2.2 billion (~RM10.5 billion) dalam tempoh empat tahun berikutnya bagi menyokong transformasi digital Malaysia. Ini merupakan pelaburan terbesar yang pernah dilakukan oleh Microsoft di Malaysia sejak memulakan operasinya di negara kita sejak 32 tahun yang lalu.
Pelaburan tersebut akan dilakukan dalam bentuk pembinaan infrastruktur digital, mewujudkan peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Kebangsaan, dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber Malaysia. Ia dijangka menyediakan peluang kepada 200,000 individu di Malaysia bagi meningkatkan kemahiran di dalam kecerdasan buatan.
Selain itu, pelaburan ini juga menunjukkan komitmen Microsoft membantu membangunkan Malaysia sebagai hab untuk perkomputeran awan dan teknologi termaju berkaitan dengannya yang merangkumi AI generatif. Ia akan menyokong produktiviti, kebingkasan, dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, serta membantu pertumbuhan di dalam komuniti pembangun tempatan.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella yang juga hadir di dalam acara Microsoft Build: AI Day di Kuala Lumpur baru-baru ini menekankan komitmen pihak syarikat dalam menyokong transformasi AI negara demi manfaat rakyat Malaysia. Melalui pelaburan di dalam infrastruktur digital dan pembangunan kemahiran, Microsoft mensasarkan untuk memperkasakan perniagaan tempatan, komuniti, dan pembangun-pembangun bagi menggembleng teknologi terkini untuk pertumbuhan ekonomi inklusif dan inovasi di seluruh negara.
Dalam pada masa yang sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengetengahkan kehadiran kewujudan Microsoft sejak sekian lama di Malaysia membuktikan jalinan kerjasama kukuh yang dibina di atas prinsip kepercayaan. Tambah beliau lagi, kerjasama ini juga menunjukkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi menarik pelaburan teknologi yang disumbangkan oleh ekosistem semikonduktor yang mantap dan sebagai pintu masuk untuk pertumbuhan.