Utama Teknologi Kecerdasan Buatan Microsoft Build: AI Day Malaysia akan berlangsung pada 2 Mei 2024

Microsoft Build: AI Day Malaysia akan berlangsung pada 2 Mei 2024

208
0

Microsoft telah megnumumkan acara Build: AI Day di Malaysia akan berlangsung pada 2 Mei 2024. Acara berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung pada bulan lepas, akan tetapi telah ditunda atas sebab yang tidak dinyatakan.

Turut hadir ke acara berkenaan, Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengerusi Microsoft Satya Nadella yang akan membuat kemunculan sulung rasminya di Malaysia sejak mengambil alih jawatan tersebut dari Steve Ballmer sedekad yang lalu.

Beliau akan menyampaikan ucaptama acara tersebut yang akan membincangkan secara meluas era baharu AI dan peluang setiap organisasi di rantau ini memanfaatkan kemajuan teknologi ini bagi menghasilkan sesuatu yang baharu untuk organisasi, negara dan masyarakat.

Acara tersebut disasarkan kepada para pembangun, saintis data, dan seangkatan dengannya. Diadakan hanya dalam sehari sahaja, Microsoft Build: AI Day akan menawarkan pelbagai sesi berkaitan AI, termasuk perbincangan ahli panel dengan pakar-pakar industri.

Lain-lain aktiviti yang diadakan termasuklah hackathon, demonstrasi teknologi, dan juga Connection Hub yang membolehkan para peserta mengadakan pertemuan secara bersemuka dan juga berkolaborasi dengan pakar-pakar dan rakan-rakan pembangun.

Selain mengumumkan tarikh baharu, Microsoft juga memaklumkan acara Build: AI Day akan diadakan di Nexus, Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South (Kampung Kerinchi). Anda yang berminat untuk turut serta boleh mendaftar di laman web rasmi acara berkenaan. Tempat adalah terhad.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.