Perniagaan makanan di Malaysia diwajibkan untuk menyatakan secara umum jika menggunakan imej janaan AI di dalam pengiklanan mereka, berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Pihak kementerian menegaskan ketelusan amat penting dalam mencegah pengguna dari terpedaya ketika membuat pilihan ketika pembelian.
Keperluan ini selaras dengan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu Atau Mengelirukan yang memastikan pengiklanan adalah benar dan tepat. Menurut The Star, pengguna di Malaysia telah menzahirkan kebimbangan melalui Reddit tentang imej makanan dijana AI oleh platform penghantaran makanan yang mungkin boleh menyebabkan kekeliruan. Bagaimanapun, KPDN menyatakan pihaknya masih belum menerima aduan rasmi berhubung perkara ini.
Pihak kementerian seterusnya menasihatkan peniaga makanan dan platform penghantaran menyemak semula garis panduan tersedia untuk dimuat turun secara dalam talian. Pakar-pakar menasihatkan imej janaan AI perlu dilabelkan secara jelas bagi mengekalkan kepercayaan pengguna dan mengelakkan pembelian impulsif.
KPDN juga menggalakkan pengguna yang merasakan terpedaya oleh imej makanan janaan AI untuk membuat aduan menerusi saluran yang betul seperti di WhatsApp, portal e-aduan, pusat panggilan atau aplikasi ezADU KPDN. Jika melibatkan kerugian wang ringgit disebabkan iklan yang memperdaya ini, pengguna boleh menuntut ganti rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna.
Dalam pada masa yang sama, perniagaan yang didapati telah melanggar peraturan pengiklanan boleh dikenakan tindakan berdasarkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 atau Akta Perihal Dagangan 2011. Hukuman melibatkan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk individu, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM250,000.