Kingston secara rasminya telah mengumumkan kehadiran dua produk baharunya, RAM DDR5 Fury Beast dan SSD NVMe PCIe 4.0 Fury Renegade.
RAM DDR5 Kingston Fury Beast direka khusus untuk digunakan bersama-sama cipset Intel terkini Z690 dan CPU desktop generasi ke-12 Alder Lake.
Ditawarkan dengan kapasiti sehingga 32GB, memori baharu ini boleh didapati dalam kit modul tunggal atau berdua. Dari segi frekuensinya, anda boleh memilih antara 4800MHz dengan pemasaan CL38 dan 1.1V, atau 5200MHz dengan pemasaan CL40 dan 1.25V.
Manakala SSD NVMe PCIe 4.0 Fury Renegade pula, ia merupakan SSD NVMe Gen4 pertama dari Kingston. SSD ini juga SSD berkelajuan tinggi pertama yang dikhususkan pada permainan berkomputer.
SSD ini juga menggunakan NAND TLC 3D yang bergandingan dengan pengawal Phison E18. Ini seterusnya membolehkan SSD Kingston ini mencapai kadar baca berjujukan maksimum 7300MB/s dan kadar tulis berjujukan maksimum 70000MB/s. Untuk kapasiti storannya pula SSD Kingston Fury Renegade ditawarkan dengan pilihan 500GB, 1TB, 2TB, dan 4TB.
Menurut Kingston, RAM DDR5 Fury Beast dan SSD NVMe PCIe 4.0 Fury Renegade akan hadir sekitar pertengahan atau penghujung November tahun ini. Setakat ini tidak diketahui berapakah harga perkakasan-perkakasan ini bagi pasaran tempatan.