Netflix secara rasminya telah melancarkan Netflix Games untuk pengguna-pengguna Android di seluruh dunia. Platform permainan dalam aplikasi ini ditawarkan secara percuma kepada semua pelanggan Netflix tanpa sebarang bayaran tambahan.
Kelompok pertama permainan yang diperkenalkan merangkumi 5 judul yang seperti pernah diperkenalkan di Poland, Sepanyol dan Itali awal tahun ini, iaitu:
- Stranger Things: 1984
- Stranger Things 3: The Game
- Shooting Hoops
- Card Blast
- Teeter Up
Boleh didapati menerusi telefon pintar dan tablet, pengguna dapat melihat barisan khas judul-judul permainan dan tabnya di dalam aplikasi sebaik sahaja fungsi ini diterbitkan.
Jumlah peranti yang boleh memainkan permainan secara serentak akan dihadkan berdasarkan pelan pilihan anda. Sebagai langkah tambahan, profil khas kanak-kanak (Kids) tidak akan menyediakan akses ke permainan tersebut.
Tetapan bahasa bagi platform dalam aplikasi ini secara lalainya adalah bahasa Inggeris. Namun, boleh ditukarkan ke bahasa pilihan anda secara automatik jika ia sudah tersedia.
Menurut Netflix, walaupun sesetengah permainan memerlukan sambungan internet, terdapat juga permainan yang boleh dimuat turun untuk dimainkan secara offline.
Netflix Games ini juga bebas dari sebarang iklan dan untuk sistem operasi mudah alih lain seperti iOS, ia sedang diusahakan dan bakal tersedia dalam masa terdekat.
Gergasi penstriman kandungan ini memandang serius usaha membangunkan platform permainan di dalam aplikasinya. Antara yang dilakukan termasuklah melantik veteran pembangunan realiti maya (VR) dari EA, Mike Verdu sebagai Timbalan Presiden Pembangunan Permainan.
Dalam pada masa yang sama, Netflix Games juga bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk PlayStation di masa hadapan.