Utama Telco Starlink Kerajaan rancang pasang Penerima Starlink di Institusi Pengajian Tinggi

Kerajaan rancang pasang Penerima Starlink di Institusi Pengajian Tinggi

428
0
Piring Satelit Internet Starlink dan Router

Kerajaan bercadang untuk memasang penerima satelit jalur lebar Starlink di institusi pengajian tinggi bagi menaik taraf ketersambungan internet di kampus-kampus.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita ketika pelancaran Mini Karnival Usahawan Desa di Sungai Petani, Kedah pada Sabtu baru-baru ini.

Menurut beliau, perkara tersebut turut dibincangkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk yang juga merupakan pengasas SpaceX di dalam pertemuan secara maya yang diadakan pada Jumaat minggu lepas.Anwar Ibrahim Meeting Zoom Elon Musk

“Jadi apabila Elon Musk bercakap dengan saya, saya beritahu Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital) semalam, untuk kita beli (peranti Starlink) dengan segera dan kita akan pasang di mana saja universiti yang perlu,” kata beliau.

Manfaat untuk atasi masalah internet perlahan

Beliau menjelaskan institusi pengajian tinggi seperti universiti, politeknik dan sekolah-sekolah akan menjadi yang pertama dilengkapkan dengan peranti berkenaan. Hal ini kerana sambungan internet yang perlahan merupakan aduan yang paling kerap beliau terima ketika mengadakan kunjungan ke institusi-institusi pendidikan terbabit.

Elon Musk telah bersetuju untuk menyediakan sebanyak 40 penerima Starlink di Malaysia dan turut menjamin akan menyediakan lebih banyak unit jika diperlukan kelak, menurut Perdana Menteri. Peranti-peranti tambahan ini apabila diminta oleh kerajaan nanti akan diagihkan ke kawasan-kawasan pedalaman bagi membantu usahawan-usahawan tempatan.

“Dia mahu tahu ke mana hala tuju kita dan keutamaan kita, iaitu ekonomi luar bandar, keselamatan makanan dan ekonomi digital. Jadi apabila kita bincang perkara ini (dengan) melibatkan orang terkaya di dunia, dia buat keputusan untuk buka ibu pejabat (Tesla) di Cyberjaya tahun ini,” tambah Perdana Menteri lagi.

SpaceX sebelum ini pernah mengemaskini tarikh ketersediaannya di Malaysia awal tahun ini. Menurut laman web tersebut, perkhidmatan internet satelit tersebut dijangka akan diperkenalkan sekitar suku kedua tahun 2023. Bagaimanapun, tiada maklumat terkini berhubung perkara tersebut setakat ini.

Di dalam pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Elon Musk pada minggu lepas juga telah mengesahkan pembukaan ibu pejabat Tesla di Selangor. Dijangkakan pengeluar kenderaan elektrik tersebut akan mengumumkan lebih banyak maklumat berkaitan dengannya di dalam acara pelancaran yang dilancarkan pada Khamis ini, 20 Julai 2020.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.