SpaceX telah mengemaskini tarikh ketersediaan perkhidmatan satelit Starlink di Malaysia dari tahun 2023 kepada “Q2 2023” (pertengahan kedua 2023). Maklumat tersebut dinyatakan menerusi peta liputan perkhidmatannya menerusi laman web rasmi.
Bukan itu sahaja, tarikh pelaksanaan Q2 2023 juga dinyatakan di dalam halaman pra-pesanan apabila pengguna memasukkan alamat Malaysia. Pun begitu, tarikh sebenar pelancarannya masih lagi belum diketahui.
Dalam pada masa yang sama, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan wakil dari bahagian SpaceX. Sesi pertemuan tersebut juga turut dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Fahmi Fadzil. Cuma tiada sebarang maklumat lanjut mengenai apa yang diperkatakan di sepanjang sesi pertemuan berkenaan.
Mei tahun lepas, SpaceX telah mengumumkan Starlink telah tersedia di 32 buah negara dan didapati Malaysia telah disenaraikan sebagai “Starting in 2023” di dalam peta liputan dan juga borang pra-pesanan.
Setakat ini nama SpaceX atau Starlink masih lagi belum terdapat di dalam senarai Daftar Lesen Individu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Lagipun, harga perkhidmatan Starlink boleh dikirakan sebagai mahal berdasarkan pendapatan median isi rumah di Malaysia.
Kit standard Starlink berharga sekitar USD599 (~RM2,612), manakala kit beprestasi tinggi (High-Performance kit) yang lebih lasak dari segi ketahanan cuacanya ditawarkan pada harga mencecah USD2,500 (~RM10,898). Pada kelajuan memuat turun di antara 20Mbps sehingga 100Mbps untuk pelan standard, anda juga perlu membayar harga langganan USD110 (~RM480) sebulan.