Kerajaan sedang mengkaji impak DeepSeek terhadap Malaysia, menurut Menteri Digital Gobind Singh Deo. Penelitian tersebut dibuat selepas platform AI baharu tersebut menerima sambutan di seluruh dunia. Terdapat laporan yang mendakwa model AI tersebut menyaingi atau melepasi keupayaan platform yang lebih lama bertapak seperti ChatGPT dari OpenAI.
Bercakap ketika sesi penerangan ringkas di Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman Thirukkovil hari ini, Gobind menyatakan pihak kerajaan memandang serius potensi DeepSeek. Ujar beliau, ia penting bagi menentukan sama ada ia boleh disesuaikan bagi kegunaan setempat dalam mendepani perkembangan pesat persekitaran AI global.
“Pada masa lalu, kita sudah melihat kemunculan ChatGPT dan banyak perkembangan lain dalam dunia AI,” beliau berkata kepada pemberita.
“Ini adalah pembangunan teknologi yang berterusan dan melihat lebih banyak produk berkaitan sebelum meneruskannya.
“Saya fikir kita perlu mengkaji perkara ini untuk melihat bagaimana kita juga boleh menyesuaikannya dengan teknologi semasa di negara ini,” katanya.
DeepSeek baru-baru ini telah memperkenalkan pembantu AI percuma yang dilaporkan dioperasikan dengan keperluan yang amat rendah berbanding model yang dibangunkan di Amerika Syarikat. Ia menerima sambutan yang amat menggalakkan dalam waktu yang singkat, dan menjadi aplikasi yang paling banyak dimuat turun di Apple App Store dalam tempoh beberapa hari ia dilancarkan.