Kerajaan memperketatkan dasar pelaburan pusat data negara dengan menghentikan kelulusan projek pusat data baharu yang tidak berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dasar tersebut di Dewan Rakyat hari ini. Beliau menegaskan langkah tersebut bertujuan mengawal tekanan terhadap bekalan elektrik dan air negara akibat pertumbuhan pesat sektor pusat data.
Kemasukan pusat data bukan AI telah mula dihadkan sejak kira-kira satu setengah hingga dua tahun lalu. Kelulusan kini diutamakan untuk projek yang memberikan manfaat dalam bidang teknologi tinggi dan kemajuan AI. Manakala permohonan yang hanya bertujuan memanfaatkan tarif tenaga elektrik dan kos air Malaysia yang lebih rendah berbanding negara lain akan ditolak.
Pengumuman ini dibuat sebagai respons kepada soalan tambahan daripada Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut-PN). Soalan tersebut mengenai kesan Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus AI kepada penggunaan tenaga dan air serta usaha memastikan bekalannya mencukupi bagi pengguna domestik.
Perdana Menteri menjelaskan unjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menunjukkan kapasiti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan yang telah diluluskan untuk satu hingga dua tahun akan datang. Dalam pada masa yang sama, kerajaan juga mempunyai usaha lain untuk mengatasi isu bekalan tenaga dan air.
“Umpamanya, Grid Tenaga ASEAN yang sedang disenggara dari Vietnam hingga Semenanjung Malaysia dan Singapura, selain cadangan mendapatkan tenaga dari Sarawak ke Semenanjung dan Singapura,” katanya.
Impak Penggunaan Air dan Elektrik Pusat Data
Pertumbuhan sektor pusat data Malaysia yang pesat berikutan pengembangan infrastruktur awan dan AI syarikat teknologi global di Asia Tenggara turut membawa kebimbangan serius terhadap utiliti nasional.
Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pusat data di Malaysia diunjurkan memerlukan kira-kira 876 juta liter air sehari menjelang 2025 bagi menyokong operasi. Isipadu ini setara dengan keperluan air harian hampir empat juta orang, kebanyakannya digunakan untuk sistem penyejukan pelayan (server cooling).
Dari segi penggunaan elektrik pula, Suruhanjaya Tenaga melaporkan pengendali pusat data menarik kira-kira 603 megawatt elektrik setakat pertengahan 2025, mewakili hampir separuh daripada potensi permintaan maksimum yang diisytiharkan oleh sektor ini. Angka ini pernah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong di Dewan Rakyat pada November tahun lalu.











