Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat melaporkan sejumlah RM28.13 juta perbelanjaan bagi pelaksanaan awal Projek MyDigital ID di bawah pengurusan MIMOS Berhad dibuat tanpa kelulusan jawatankuasa ditetapkan.
Isu ini turut dikaitkan dengan kelemahan pengurusan perbelanjaan, ketidakpatuhan struktur kos, serta kekurangan mekanisme pemantauan dan kawalan dalaman ketika fasa awal pelaksanaan projek.
Audit melaporkan RM28.13 juta itu melibatkan 11 sub-skop projek yang dibelanjakan tanpa atau melebihi penyaluran peruntukan berjumlah RM4.08 juta. Ia merangkumi satu sub-skop yang melebihi kos diluluskan sebanyak RM70,000.
Dari sudut pengurusan dana, LKAN turut merekodkan perbelanjaan RM14.09 juta dibayar menggunakan dana pembangunan. Ia melibatkan komponen seperti emolumen dan kos sumber, dengan pecahan RM13.10 juta (93%) untuk emolumen dan RM0.85 juta bagi kos sumber.
LKAN menyatakan amalan menggunakan peruntukan pembangunan untuk emolumen dan perolehan kelengkapan pejabat adalah bertentangan dengan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Ia sekali gus menunjukkan perbelanjaan tidak mengikut tujuan peruntukan (purpose of vote).
Dari aspek tadbir urus, audit melaporkan struktur tadbir urus projek “tidak berfungsi sebagaimana ditetapkan”. Antaranya ketiadaan pembentangan rasmi berkaitan kelulusan perbelanjaan dan status pelaksanaan dalam mesyuarat pemantauan.
Menurut LKAN 1/2026, keadaan tersebut menunjukkan ketidakpatuhan jelas terhadap struktur kos projek dan syarat yang dipersetujui. LKAN turut menegur isu perolehan apabila peralatan Certificate Authority bernilai RM79,000 dibeli tanpa kelulusan Makmal Kajian Nilai dan tidak digunakan. Ia disifatkan sebagai pembaziran serta mencerminkan kelemahan kawalan aset.
Antara syor yang diketengahkan termasuk keperluan memastikan setiap perbelanjaan projek dibuat dengan kelulusan jawatankuasa berkaitan, mematuhi struktur kos serta garis panduan RMK12, dan memperkasa tadbir urus geran pembangunan agar keputusan peruntukan serta perolehan dibuat secara telus dan berakauntabiliti.











