Panasonic, baru-baru ini mengumumkan penamatan operasi pembuatan dan pemasaran perniagaan televisyen (TV). Tanggungjawab tersebut diserahkan kepada pengeluar dari China, Skyworth.
Langkah strategik ini diumumkan bagi membolehkan syarikat mengurangkan kos operasi secara drastik di pasaran global. Ia sekali gus menandakan berakhirnya era dominasi pengeluaran TV oleh jenama-jenama utama Jepun.
Skyworth akan mengambil alih sepenuhnya proses pengeluaran, jualan, pemasaran, dan logistik perniagaan TV berjenama Panasonic.
Walau bagaimanapun, Panasonic tidak akan meninggalkan industri ini sepenuhnya. Ini kerana masih berperanan dalam menyediakan kepakaran teknikal serta menjalankan proses jaminan kualiti.
Keputusan ini memberikan ruang kepada Panasonic untuk meminimumkan penggunaan sumber sambil terus menjana pendapatan melalui pelesenan jenama.
Bibit peralihan ini sebenarnya bermula sejak tahun 2021 apabila syarikat mula menyumber luar (outsource) proses pengeluaran TV kepada pihak ketiga.
Menurut Yuki Kusumi, Presiden Panasonic, “Syarikat bersedia untuk menjual perniagaan TV ini jika keadaan memerlukan.”
Perkembangan ini turut menandakan berakhirnya sebuah era. Panasonic dianggap sebagai pengeluar elektronik Jepun terakhir yang masih menghasilkan TV sendiri.
Ketika era keemasan TV plasma, Panasonic pernah memegang 40.7% pegangan pasaran TV plasma global pada 2010. Pengeluaran TV plasma ditamatkan menjelang Mac 2014 selepas pelancaran siri mercu ketika itu seperti ZT60, VT60 dan ST60.
Sebelum pengambil alihan ini, syarikat dari Jepun lain seperti Sony telah menyerahkan perniagaan TV kepada TCL bulan lalu. Selain itu, Pioneer juga dilaporkan telah menyerahkan kepada TCL (2018), Toshiba kepada Hisense (2017) dan Sharp menjadi anak syarikat Foxconn (2016).











