Penyedia perkhidmatan rangkaian tidak lama lagi perlu meningkatkan kelajuan muat turun purata perkhidmatan masing-masing bagi memenuhi Mandatory Standards for Quality of Service (MSQoS) untuk jalur lebar tanpa wayar.
Perkara ini telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di Parlimen hari ini berhubung semakan semula MSQoS yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada Disember lalu.
Piawaian baharu ini menetapkan kelajuan muat turun purata 4G oleh penyedia perkhidmatan sekurang-kurangnya 7.7Mbps sebagai salah satu usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan internet di Malaysia. Penetapan ini berkuatkuasa bermula 1 April 2024 dan ia merupakan peningkatan dari 2.5Mbps sebelum ini dengan sekurang-kurangnya 90 sampel ujian perkhidmatan.
MSQoS baharu menyatakan kelajuan muat turun minimum yang diperlukan akan meningkat kepada 10Mbps bermula dari 1 Januari 2025 dengan kependaman 100ms ke bawah untuk 4G dan tidak lebih 40ms untuk 5G. Untuk kelajuan muat naik minimum 4G, MSQoS menetapkan purata 1Mbps pada 2024, dan 1.3Mbps bermula pada 2025.
SKMM juga menetapakan piawaian minimum untuk 5G perlu mempunyai kadar celus (throughput) muat turun secara purata sekurang-kurangnya 100Mbps. Kelajuan minimum muat turun pula ditetapkan oleh MSQoS secara purata pada 5Mbps untuk 5G tunggal dan 3Mbps untuk 5G bukan tunggal.