Utama Apple iPhone SE Generasi Ke-4 dikatakan mungkin menampilkan rekaan seakan iPhone 14

iPhone SE Generasi Ke-4 dikatakan mungkin menampilkan rekaan seakan iPhone 14

66
0
Imej dari 91Mobiles

Imej pengolokan baharu yang menggambarkan rekaan model iPhone SE generasi keempat yang akan datang telah muncul di laman web 91Mobiles. Berdasarkan apa yang telah dikongsikan, terdapat beberapa perubahan pada rekaannya yang kini lebih mirip dengan rekaan iPhone 14.

Salah satu perubahannya yang ketara adalah pada rekaan skrinnya yang lebih besar pada ukuran 6.1-inci berbanding 4.7-inci sebelum ini. Selain menampilkan takuk pada sebelah atasnya, iPhone SE 4 generasi keempat berkenaan kelak mungkin tidak lagi menyediakan butang ‘home’ fizikal.

Mengikuti rekaan iPhone moden, pada takuk di sebelah atasnya dijangka akan menampilkan sistem kamera Apple TrueDepth bagi menyokong fungsi Face ID. Jika dakwaan ini benar, ia merupakan yang pertama dilaksanakan pada model SE.

Selain itu, berkemungkinan besar iPhone SE generasi keempat mungkin akan mempunyai port USB-C, menggantikan port Lightning sama seperti iPhone 15 yang dilancarkan pada tahun lepas. Ia juga selaras dengan pematuhan undang-undang EU baharu yang mewajibkan penggunaan port USB-C pada semua telefon pintar menjelang 2024.

Imej pengolokan berkenaan juga menunjukkan iPhone SE baharu berkenaan akan kekal dengan satu kamera sahaja, sama seperti model terdahulu. Desas-desus mengatakan, Action Button yang diperkenalkan pada siri iPhone 15 Pro tahun lepas akan hadir pada iPhone versi bajet ini. Dari segi ukurannya pula, 91Mobiles mendakwa telefon pintar keluaran Apple tersebut mirip dengan iPhone 14 pada ukuran 147.7 x 71.5 x 7.7mm.

Pun begitu, segala desas-desus dan khabar angin berkenaan iPhone SE Generasi Keempat ini masih lagi belum dapat disahihkan selagi kenyataan rasmi dari pihak Apple tidak dikeluarkan.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.