Versi terkini iOS, 14.4 kini boleh didapati dalam bentuk kemaskini stabil. Pemasangannya mungkin boleh menyebabkan paparan notifikasi “important hardware message” muncul jika iPhone mengesan modul kamera belakang telah digantikan dengan pihak ketiga.
Kemaskini ini mengeluarkan amaran jika pembaikan dilakukan “secara tidak sah” walaupun alat ganti yang digunakan adalah asli. Mesej berkaitan isu perkakasan ini adalah lanjutan dari mesej penggantian alat ganti seperti paparan dan bateri yang sedia ada di dalam iOS.
Oleh itu, bagi menghilangkan notis tersebut, pengguna dinasihatkan supaya menjalankan pembaikan alat ganti dengan pihak Apple. Selain itu, kemaskini iOS 14.4 telah berjaya mengatasi masalah tidak boleh menggunakan mod potret dan panorama selepas modul kamera belakang diganti baharu.
Penemuan isu-isu ini telah dibangkitkan oleh seorang YouTuber pakar baik pulih peranti, Hugh Jeffreys menerusi video terbaru yang dikongsikannya.
Selain isu yang dinyatakan tadi, kemaskini perisian ini turut menyediakan tampalan bagi kerentanan yang berpotensi. Antara yang dimaksudkan adalah CVE-2021-1782, CVE-2021-1871 dan CVE-2021-1870 yang dilaporkan berkesan pada iPad dan iPhone.
Pihak Apple menasihatkan pengguna untuk segera mengemaskini ke iOS 14.4. Jika tidak, dibimbangi bakal memberi kesan kepada kepenggunaan peranti seperti widget Fitness tidak memaparkan aktiviti yang terkini.