Apple Inc. dilaporkan telah meningkatkan pengeluaran telefon pintar iPhone di India sebanyak 53 peratus pada tahun 2025. Justeru menyumbang kepada suku daripada keseluruhan pengeluaran peranti tersebut di peringkat global.
Langkah strategik ini sejajar dengan usaha syarikat teknologi dari Amerika Syarikat itu untuk mengurangkan kebergantungan rantaian bekalannya terhadap China.
Peningkatan kapasiti ini menyaksikan kira-kira 55 juta unit iPhone berjaya dipasang di India sepanjang tahun lalu. Meningkat berbanding hanya 36 juta unit pada tahun 2024.
Secara keseluruhan, Apple mengilang antara 220 juta hingga 230 juta unit iPhone setahun di seluruh dunia. Lantas menjadikan sumbangan India semakin signifikan bagi perancangan jangka panjang mereka.
Peralihan fokus ini didorong oleh cabaran tarif (cukai import) yang memberi kesan buruk kepada eksport dari China akibat ketegangan perdagangan.
Menurut Jurucakap, Apple, walaupun syarikat telah mengalihkan sebahagian besar pemasangan ke India, kerja-kerja memasang dan mengilang elektronik serta komponen di negara tersebut ‘masih menelan kos yang lebih tinggi’ berbanding di China dan Vietnam.
Ringkasan info pengeluaran iPhone di India:
- Kadar Peningkatan: Lonjakan pengeluaran sebanyak 53 peratus dari tahun ke tahun.
- Jumlah Unit Tempatan: 55 juta unit berjaya dipasang pada tahun 2025.
- Jumlah Pengeluaran Global: Anggaran 220 juta hingga 230 juta unit setahun.
- Rakan Kontrak Pembuatan: Operasi pemasangan diterajui oleh pembekal antarabangsa dan tempatan seperti Foxconn, Tata Electronics, serta Pegatron.
Peralihan operasi Apple ini mengesahkan status India yang semakin berkembang sebagai hab pembuatan teknologi utama dunia.
Walaupun wujud sedikit kekurangan dari segi kelebihan kos jika dibandingkan dengan negara pengeluar lain, insentif pengeluaran yang diperkenalkan oleh kerajaan India dilihat terus berjaya menarik minat jenama global untuk meluaskan pelaburan mereka di sana.











