Awal tahun ini, perincian mengenai CPU desktop yang dikatakan Generasi Ke-11 Intel, Core i9-11900K telah didedahkan menerusi seorang Youtuber warga China.
Terkini, lebih banyak perincian mengenai CPU berkenaan telah muncul dengan mendedahkan prestasinya pada bebenang tunggal.
Lanjutan dari itu, prestasi Core i9-11900K telah diketemukan pada pangkalan data perisian PassMark. Menerusinya, kita dapat melihat CPU Intel berkenaan mendahului dengan mencatatkan markah 3764. Mengatasi CPU AMD berkuasa Zen-3, siri Ryzen 5000.
Bukan itu sahaja, catatan klok Core i9-11900K pada pangakalan data berkenaan menunjukkan ianya memiliki klok asas 3.5GHz dan memuncak pada klok dipertingkatkan pada 5.2GHz. Pada masa yang sama, pemprosesan ini dioperasikan pada TDP 125W.
Setakat ini, belum diketahui sama ada kelajuan klok dipertingkatkan CPU ini dicatatkan berdasarkan pengaktifan Thermal Velocity Boost (TVB) atau tidak. Selain itu, tiada sebarang petunjuk yang TVB boleh memberi kesan terhadap prestasi teras tunggal atau berbilang teras. Jika ianya memberi kesan terhadap prestasi berbilang teras, kesemua teras boleh dipertingkatkan setinggi 4.8GHz sahaja.
CPU Intel Rocket Lake-S Generasi Ke-11 dijangka merupakan pemprosesan terakhir dari Intel yang menggunakan proses litografi 14nm. Proses pembuatan berkenaan akan digantikan dengan proses litografi 10nm pada siri Alder Lake-S kelak.
Dijangkakan, siri pemprosesan Intel Rocket Lake-S bakal dilancarkan sekitar Mac 2021 ini.