Bekerja dari rumah
Imej dari iStock

Apabila wabak pandemik COVID-19 melanda di seluruh dunia, kebanyakan organisasi dan syarikat di seluruh dunia telah mengarahkan pekerja-pekerjanya untuk bekerja dari rumah. Google merupakan salah sebuah syarikat yang melaksanakan arahan tersebut.

Menurut laporan dari Bloomberg, syarikat induk Google iaitu Alphabet telah berjaya melakukan penjimatan sebanyak $268 juta pada suku pertama untuk belanja promosi, perjalanan dan hiburan berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Alphabet juga dilaporkan turut telah mengurangkan perbelanjaan bagi tujuan pengiklanan dan promosi sehingga $1.4 billion pada tahun 2020 apabila kebanyakan acara telah ditangguhkan, dibatalkan atau dipindahkan ke dalam bentuk digital. Perbelanjaan untuk hiburan juga telah mencatatkan pengurangan sehingga $371 juta.

Jumlah penjimatan tersebut telah membolehkan Google menambah bilangan perjawatannya sehingga mampu mengambil ribuan pekerjanya yang baharu. Kesan pandemik ini turut memperlihatkan belanja bagi pemasaran dan pentadbiran Google hampir sama dalam tempoh suku pertama walaupun mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 34 peratus.

September tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Alphabet, Sundar Pichai menerusi satu wawancara telah berkongsikan pandangannya mengenai perancangan membawakan model kerja ‘hibrid’. Kaedah kerja baharu ini membenarkan mana-mana pekerja yang lebih selesa bekerja dari rumah terus melaksanakannya untuk satu tempoh yang lebih panjang. Langkah ini dapat membantu mengatasi masalah kesesakan trafik yang dihadapi oleh ramai pekerja.

Malah, melalui satu kaji selidik yang dilakukan oleh Google kepada pekerja-pekerjanya mendapati 10% pekerjanya berhasrat untuk terus bekerja dari rumah dengan 15% lagi ingin hanya memasuki pejabat jika diperlukan sahaja.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.