Phone-Signal

Opensignal baru-baru ini telah menerbitkan Mobile Network Experience Report yang pertama bagi tahun 2021 untuk Malaysia. Seperti biasa, beberapa perkembangan menarik yang boleh diketengahkan berkenaan keadaan semasa perkhidmatan telekomunikasi negara kita.

Berdasarkan data-data yang dikumpulkan dari 1 Disember 2020 sehingga 28 Februari 2021, Digi didapati menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terpantas di Malaysia dari segi kelajuan memuat turun.

Laporan tersebut menyebut Digi telah berjaya mengatasi Maxis selepas bertahun-tahun menjuarai kategori Download Speed Experience. Pun begitu, beza kelajuan antara kedua-dua syarikat telekomunikasi ini tidaklah begitu jauh. Hanya berbeza 1.4Mbps sahaja.

Apa yang mungkin menjadi kebimbangan buat Maxis adalah kelajuan memuat turun bagi syarikat ini telah merosot sejak laporan September 2020 lalu.

Kemerosotan Kelajuan Muat Turun di Malaysia

Kelajuan memuat turun Maxis telah merosot dari 14.5Mbps di dalam laporan September 2020 kepada 11.9Mbps di dalam laporan yang terkini. Bagaimanapun, bukan Maxis sahaja yang mencatatkan kemerosotan kelajuan memuat turun ini.

Turut dilaporkan, kelajuan memuat turun Celcom juga telah merosot kepada 7.7Mbps berbanding 10.2Mbps pada laporan yang terdahulu. Rekod ini telah meletakkan Celcom di tangga tercorot di dalam kategori ini.

U Mobile juga telah menyaksikan kemerosotan kelajuan walaupun tidak banyak beza iaitu dari 10.1Mbps pada September, kepada 9.8Mbps di dalam laporan OpenSignal yang terkini. Hanya unifi Mobile (selain Digi) sahaja yang mencatatkan peningkatan di dalam kelajuan memuat turun dari 6.7Mbps pada September lalu kepada 9.1Mbps.

Selain kategori kelajuan muat turun, Maxis juga telah kehilangan takhta di dalam kategori ‘Video Experience’ kepada Digi. Tetapi masih lagi mengekalkan kedudukannya di tangga teratas kategori Games Experience bersama-sama U Mobile. U Mobile juga pada masa yang sama turut mengekalkan kedudukannya di dalam kategori Upload Speed dan Voice App Experience.

Begitu pun, Celcom sekali lagi menjuarai kategori liputan 4G terluas dan 4G Availability di dalam laporan terbaru ini. Unifi turut merangkul kedudukan yang sama dengan Celcom bagi kategori 4G Availability.

Untuk maklumat lanjut dan perincian mengenai laporan OpenSignal ini, layari laman web rasmi OpenSignal untuk mendapatkan gambaran sebenar yang lebih jelas.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.