Samsung Galaxy S21 ini jika dibuat secara perbandingan dengan S20 keluaran tahun lalu, tidak banyak yang boleh diketengahkan di atas kertas. Terdapat beberapa kekurangan berbanding model keluaran yang terdahulu.
Hal ini disebabkan oleh hasrat Samsung yang ingin menurunkan harga jualan telefon pintar mercu ini dan juga bagi memberi lebih tumpuan terhadap S21 Ultra.
Bagaimanapun, selepas menggunakannya lebih dari seminggu, anggapan awal saya terhadap telefon pintar Samsung terbaru ini nyata berbeza.
Telefon pintar ini menawarkan paparan HD+ Penuh 6.2-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Melaluinya, penggunaannya dapat dirasakan lebih lancar dengan warna dan grafik yang lebin lancar. Saya mendapati tiada sebarang pengurangan resolusi sepanjang pengujian dilakukan.
Penggunaan cipset Exynos 2100 oleh model ini pula memberikan prestasi yang memberangsangkan secara keseluruhannya. Pun begitu, cipset ini sekali-sekala menjadi suam, terutamanya ketika menggunakannya untuk fotografi atau memainkan permainan bergrafik tinggi.
Isi Kandungan
Rekaan Samsung Galaxy S21 5G
Ciri rekaan luaran telefon pintar ini merupakan paling menonjol berbanding S20. Segalanya berbeza termasuk bahan yang digunakan, warna dan juga rupa keseluruhannya sudah berbeza.
Melalui paparan berukuran 6.2-inci, model ini merupakan yang paling kecil di dalam siri Galaxy S21. Tetapi tidak sekecil iPhone 12 mini dan ianya bersesuaian bagi pengguna yang mempunyai tapak tangan kecil.
Samsung kini tidak lagi menggunakan kemasan kaca pada permukaan belakang seperti S20. Kali ini, Galaxy S21 diberi kemasan yang dinamakan sebagai ‘Glasstic’ yang dipadankan dengan rekaan blok kamera terbarunya, ‘Contour Cut Camera’. Penggunaan bahan ‘Glasstic’ ini memelihara permukaan telefon ini dari kesan cap jari dan habuk.
Modul kameranya yang disusun pada bahagian ‘Contour Cut Camera’ ini juga menawarkan kelainan baharu yang tidak diketemukan pada telefon lain setakat ini.
Terdapat empat warna yang boleh dipilih iaitu Phantom Gray, Phantom White, Phantom Pink, dan Phantom Violet. Model yang saya terima untuk ulasan ini adalah Phantom Violet.
Pada bahagian bawah Galaxy S21 5G ini menempatkan dulang SIM, port USB-C dan kekisi pembesar suara. Manakala di sebelah sisi kanannya menempatkan butang suis dan kawalan bunyi. Tiada butang Bixby disediakan dan ianya boleh diakses dengan memegang butang suis telefon ini.
Rekaan skrin untuk Galaxy S21 adalah berbeza dengan sirinya yang terdahulu kerana menampilkan skrin rata berbanding skrin melengkung pada kiri dan kanannya. Hal ini mungkin bukan isu yang besar bagi sesetengah pengguna. Tetapi ianya mungkin perlu diambil perhatian bagi yang gemarkan rekaan skrin melengkung pada telefon pintar.
Secara keseluruhannya, rekaan Samsung Galaxy S21 masih lagi dapat dirasakan ciri premiumnya.
Paparan Samsung Galaxy S21 5G
Samsung telah menurunkan resolusi Galaxy S21 5G ini kepada HD+ Penuh berbanding penawaran Quad HD pada Galaxy S20 dahulu.
Pengurangan kualiti resolusi ini bertujuan meminimakan kos pengeluaran telefon ini. Bagaimanapun, melainkan anda sudah terbiasa menonton dengan kualiti Quad HD, pengurangan ini mungkin tidak begitu disedari oleh kebanyakan pengguna.
Paparan Galaxy S21 menampilkan kadar penyegaran maksimum 120Hz secara lalai (default) dan berfungsi dalam kapasiit adaptif. Oleh itu, paparan ini akan kekal pada 120Hz apabila anda bermain permainan mudah alih dan akan menurunkannya apabila membuat aktiviti lain seperti membaca bagi menjimatkan bateri.
Samsung juga telah menambahbaik respon imbasan cap jari pada S21 5 G ini. Pengimbas ini juga 70% lebih besar, justeru memudahkan dan mempercepatkan bacaan cap jari di atas skrin.
Kamera Samsung Galaxy S21 5G
Perkakasan kamera Galaxy S21 tidak membawakan perubahan besar seperti perubahan yang berlaku dari Galaxy S10 ke S20. Perubahan kali ini lebih kepada peningkatan pada perisiannya.
Samsung menyediakan mod kamera ‘Single Take’ pada S21 ini yang membolehkan anda mengambil pelbagai bentuk foto dan video dengan sekali tekan pada butang pengatup (shutter) kamera. Mod ini memanfaatkan ketiga-tiga modul kameranya dan akan mengambil sejumlah bentuk foto dan video untuk memberikan anda pilihan terbaik darinya.
Kamera telefoto yang disertakan padanya juga agak menarik dengan menawarkan 3x zum optikal dan sehingga 30x zum digital. Hasilnya tidaklah sebegitu menarik seperti Galaxy S21 Ultra yang mempunyai dua kamera telefoto, tetapi ianya masih seronok untuk dicuba.
Berdasarkan pengujian yang dilakukan, imej yang diambil masih lagi kelihatan elok sehingga 10x zum. Lebih lagi dari itu, gambarnya akan kelihatan ‘pecah’ dan kurang elok.
Untuk kamera swafoto 10MP di hadapannya pula tidak begitu banyak yang menarik boleh diperkatakan tentangnya. Memadai ianya mampu memberikan imej swafoto yang elok dan boleh memberikan kualiti panggilan video yang sederhana.
Sebuah lagi fungsi baharu di dalam Galaxy S21 adalah mod Director’s View yang membolehkan anda mengambil video menggunakan kamera hadapan dan kamera belakang secara serentak. Mod ini berguna untuk pencipta kandungan dan YouTuber yang merakam video sambil mengambil merakam reaksi wajah sendiri.
Untuk rakaman video, S21 mampu menyediakan rakaman beresolusi 8K pada kadar 24 bingkai per saat. Pada masa yang sama, ia juga memberikan pilihan rakaman beresolusi 4K pada kadar 30 dan 60 bingkai per saat, dan HD Penuh pada 30, 60 dan 240fps.
Spesifikasi dan Prestasi
Untuk pasaran Malaysia, siri Samsung Galaxy S21 menggunakan cipset Exynos 2100. Cipset keluaran Samsung sendiri ini merupakan sesuatu pembaharuan besar yang dibawakan oleh gergasi elektronik dari Korea Selatan ini.
Biasanya, cipset Exynos agak ketinggalan prestasinya jika dibandingkan cipset keluaran Qualcomm pada sesetengah segi. Namun, untuk Exynos terbaru ini telah mampu merapatkan jurang antara kedua-duanya.
Samsung Galaxy S21 5G mampu mengendalikan tugasan-tugasan harian termasuklah memainkan permainan, tugasan berbilang dan membuka pelbagai aplikasi secara serentak di dalam paparan skrin terbelah. Model ini dilengkapkan dengan RAM sebanyak 8GB sahaja. Bagi anda yang inginkan lebih RAM, anda boleh memilih S21 Ultra yang menyediakan pilihan 12GB atau 16GB.
Bersama-sama RAM 8GB, anda diberikan pilihan storan sama ada 128GB atau 256GB. Bagaimanapun, tiada slot mikroSD disediakan untuk penambahan ruang storan.
Telefon pintar ini dioperasikan oleh Android 11 melalui antaramuka Samsung One UI 3.0. yang saya dapati amat lancar digunakan tanpa sebarang masalah.
Dari segi ketersambungan, Samsung menjadikan siri Samsung S21 sebagai antara telefon pintar yang merintis teknologi 5G seawal 2021. Oleh itu, anda mampu bersedia berdepan dengan teknologi baharu dengan telefon pintar ini.
Bateri Samsung Galaxy S21 5G
Bateri berkapasiti 4,000mAh yang disertakan bersama-samanya mampu bertahan untuk digunakan sehari suntuk. Hal ini turut disebabkan oleh kecekapan penggunaan tenaga yang dibawakan oleh cipset Exynos 2100.
Bagaimanapun, penggunaan paparan dengan kadar penyegaran semula 120Hz sepanjang masa boleh memberikan kesan pada tahap penggunaan bateri.
Mengecas S21 5G melalui port USB-C yang disediakannya amat mudah terutama sekali jika menggunakannya bersama-sama pengecas pantas 25W dari Samsung. Ia juga sesuai digunakan bersama-sama pengecas pantas Qi. Turut disokong pengecas nirwayar berbalik, dan anda boleh menggunakannya untuk mengecas peranti yang menyokong pengecasan nirwayar. Cumanya, kadar pengecasannya adalah amat perlahan dan mungkin sesuai digunakan apabila kecemasan sahaja.
Kesimpulan
Bagi anda yang meminati telefon pintar Android premium bersaiz kecil, Samsung Galaxy S21 5G merupakan pilihan terbaik anda pada pandangan saya. Pada saiz 6.2-inci, telefon pintar ini mungkin kelihatan agak besar di atas kertas, tetapi jika dibandingkan dengan telefon pintar Android lain masa kini, ianya akan nampak comel dan kecil.