Utama Mobile Telco CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YTL akan muktamadkan Pegangan dengan DNB

CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YTL akan muktamadkan Pegangan dengan DNB

479
0
Syarikat telco Malaysia 5G

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengumumkan Jawatankuasa Kerja 5G telah berjaya mencapai persetujuan berhubung perjanjian akses 5G dan pegangan ekuiti untuk Digital Nasional Berhad (DNB). Selain itu, beliau turut menyatakan kesemua syarikat telekomunikasi ini akan mempunyai pegangan ekuiti di dalam rangkaian borong tunggal 5G berkenaan.

Menurut kenyataan tersebut, lima pengendali – CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL Communications sedang di dalam proses memuktamadkan pegangan masing-masing dengan DNB.

Syarikat-syarikat berkenaan juga akan menyokong pembangunan 5G DNB sehingga ia mencapai liputan berpenduduk 5G 80% sehingga penghujung 2023 sebelum beralih ke pendekatan Dwi-Rangkaian pada Januari 2024.

Menurut Fahmi, rangkaian 5G DNB telah mencapai liputan berpenduduk 64.7% sehingga penghujung 2023 dan sedang berada di dalam landasan mencapai sasaran 80% hujung tahun ini. Beliau turut berkongsikan pelanggan-pelanggan Maxis tidak lama lagi akan menikmati 5G selepas mendapat persetujuan bersama dari pemegang saham untuk perjanjian akses 5G dengan DNB di dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa Maxis yang akan diadakan pada bulan depan.

Apa cerita dengan Dwi-Rangkaian 5G?

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan perubahan polisi 5G dari Rangkaian Borong Tunggal kepada Dwi-Rangkaian pada Mei lalu. Selain bertujuan mengelakkan monopoli 5G, keputusan tersebut diambil bagi menghindarkan keadaan titik tunggal kegagalan (single point of failure) dan juga mewujudkan rangkaian tambahan untuk 5G.

Tidak lama selepas itu, CelcomDigi dan TM mengumumkan penamatan Perjanjian Perkongsian Langganan dengan DNB. Menurut DNB, penamatan perjanjian ekuiti membuka ruang untuk CelcomDigi turut serta di dalam sebarang proses baharu termasuk penyertaan ekuiti bersama-sama dengan industri.

Tahun lepas, empat syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, TM dan YTL Communications telah menandatangani perjanjian langganan perkongsian bersyarat dengan DNB melalui pegangan ekuiti kolektif 65%. Baki selebihnya 35% dipegang oleh pihak kerajaan.

Melalui pengumuman terkini ini, kesemua syarikat telekomunikasi akan mengambil pegangan dan juga mengekalkan perjanjian akses 5G selama 10 tahun dengan DNB sebelum pelaksanaan rangkaian kedua dibenarkan pada tahun depan.

Setakat ini tidak dapat dipastikan bagaimanakah pembentukan rangkaian 5G kedua nanti diwujudkan kelak dan apakah langkah seterusnya apabila kesemua syarikat telekomunikasi telah pun bersama-sama dengan DNB.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.