Tidak lama selepas kerajaan Malaysia mengumumkan peralihan model dwi-rangkaian baharu untuk Digital Nasional Berhad (DNB) menjelang akhir tahun ini, terdapat beberapa perubahan dalam pegangan ekuitinya.
Rentetan dari perkembangan tersebut, CelcomDigi telah menamatkan pegangannya di dalam DNB dan disusuli pula oleh Telekom yang turut menamatkan perjanjian langganan bersama (share subscription agreement, SSA) berkenaan.
Penamatan ini bagaimanapun tidak memberikan kesan terhadap penawaran dan rancangan perluasan rangkaian 5G sedia ada di Malaysia, menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Tambah beliau lagi, pelaksanaan rangkaian 5G kini berada di paras 61.7% dengan sasaran sehingga 80% menjelang akhir tahun ini.
Sebagaimana laporan sebelum ini, peralihan dari rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model dwi-rangkaian akan bermula sebaik sahaja liputan capaian rangkaian 5G DNB mencecah 80%. Sebuah entiti swasta juga dilaporkan akan mengambil alih DNB sebaik sahaja sasaran tersebut telah dicapai.
Menurut Fahmi Fadzil lagi, satu perbincangan baharu akan dimulakan bersama-sama pihak syarikat telekomunikasi memandangkan syarat dan keadaan kini sudah berubah. Sebuah jawatankuasa kerja baharu juga akan ditubuhkan bagi memantau perluasan rangkaian 5G di Malaysia, ujar beliau lagi.