Utama Telco Maxis Maxis umum akan tandatangani Perjanjian Akses 5G dengan DNB

Maxis umum akan tandatangani Perjanjian Akses 5G dengan DNB

439
0

Maxis telah mengumumkan menerusi Bursa Malaysia berkenaan pihaknya akan menandatangani perjanjian akses 5G dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

Selepas lama ditangguhkan, Maxis menyatakan pihaknya akan mendapatkan persetujuan daripada pemegang saham untuk memuktamadkan perjanjian akses dengan DNB bagi menadapatkan akses ke produk dan perkhidmatan 5G yang disediakan secara borong.

Menurut Maxis, persetujuan dari perjanjian tersebut akan membantu mencapai matlamat pendigitalan Malaysia. Dijangkakan 5G dapat memberikan manfaatkan kepada perniagaan, pelanggan dan kerajaan dalam usaha memperkuatkan daya saing Malaysia.

Maxis menjelaskan DNB kekal sebagai penyedia rangkaian borong tunggal untuk penyediaan 5G di Malaysia. Perjanjia Akses dengan DNB ini kelak akan membolehkan Maxis menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggan-pelanggannya.

Akan menjadi sebahagian daripada Gabungan Rangkaian Maxis

Rangkaian 5G berkenaan juga akan menjadi sebahagian daripada ketersambungan rangkaian menumpu (converged) Maxis yang menggabungkan teknologi mudah alih, gentian dan satelit bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia kekal berhubungan dalam pelbagai cara. Persetujuan perjanjian akses ini juga akan membolehkan Maxis menawarkan kaedah penyelesaian menggunakan rangkaian 5G dan memacu penggunaannya pada skala industri di dalam negara.

Kenyataan yang sama juga menyatakan pihak pengurusan mengambil kira kekangan pilihan yang ada buat masa selain turut mempertimbangkan kelebihan yang dibawakan oleh teknologi rangkaian generasi baharu tersebut.

RHB Investment Bank telah dilantik sebagai Penasihat Prinsipal kepada Maxis untuk Transaksi Cadangan tersebut. Perjanjian akses 5G akan ditandatangani selepas mendapat persetujuan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan pada suku ketiga tahun ini.

Mei lalu, Malaysia mensasarkan transisi kepada kaedah Dwi Rangkaian 5G akan dapat dilakukan seawal 2024 selepas DNB mencapai 80% liputan berpenduduk 5G. Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, langkah peralihan dari Rangkaian Borong Tunggal kepada Dwi Rangkaian Borong bertujuan menghindarkan dari masalah kegagalan satu punca (single point of failure, SPOF), selain menyediakan kelewahan (redundancy) untuk rangkaian 5G di Malaysia.

Sebuah Jawatankuasa Kerja 5G juga telah ditubuhkan bagi melancarkan proses peralihan. Bulan lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerja 5G berkongsikan mengenai usaha ke arah menyelesaikan isu berkaitan perjanjian akses 5G dan tawaran ekuiti dengan jangkaan lebih banyak penyedia perkhidmatan terutamanya Maxis boleh menawarkan perkhidmatan 5G kepada pengguna.

Pada 20 Jun lalu, Fahmi Fadzil menyatakan syarikat telekomunikasi bakal mengumumkan berita baik berkenaan 5G pada hujung bulan lepas. Bagaimanapun, setakat ini tiada pengumuman besar berkenaan perkara tersebut.

Sehingga bulan Jun 2023, rangkaian 5G DNB telah mencapai 62.1% liputan populasi di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.