Skrin boleh lipat kian menjadi satu kebiasaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Samsung merupakan pengeluar peranti yang memainkan peranan besar dalam mengarus perdanakan teknologi ini kepada pengguna umum melalui siri Galaxy Z Flip dan Galaxy Z Fold.
Rentetan dari usaha tersebut, pengeluar-pengeluar lain turut serta dalam memperkenalkan peranti boleh lipat masing-masing hingga menyaksikan penurunan harga telefon pintar dengan teknologi skrin boleh lipat.
Namun, mungkin anda pernah tertanya-tanya bagaimana teknologi skrin boleh lipat ini dapat dihasilkan dan berfungsi.
Isi Kandungan
Asas Teknologi Skrin OLED
Kesemua jenis paparan, baik pegun atau melentur, rata atau melengkung, dan juga boleh gulung atau boleh lipat – kesemuanya berfungsi dengan cara yang lebih kurang sama.
Jutaan titik-titik berwarna membentuk imej-imej yang kita lihat di atas skrin. Terdapat pelbagai cara untuk menjadikan dengan teknologi yang berbeza seperti LCD, OLED, dan juga yang terbaru mikro-LED dan mini-LED.
Bintik-bintik berwarna berkenaan berada di atas satu lapisan yang dikenali sbeagai substrat. Sejak bertahun-tahun bahan substrat ini merupakan satu lapisan kaca yang nipis, dan tidak boleh dilenturkan sewenang-wenangnya kerana mudah pecah.
Pada dekad yang lepas, pengeluar skrin paparan telah menghasilkan substrat untuk paparan yang diperbuat daripada plastik fleksibel yang boleh dilenturkan tanpa pecah. Skrin paparan yang diperbuat daripada plastik pertama kali hadir pada telefon pertama dengan paparan melengkung, Galaxy Note Edge pada tahun 2014.
Kemajuan teknologi telah meningkatkan keupayaan tahap kelenturan paparan yang selamat untuk digunakan pada skrin peranti pengguna. Keupayaan ini juga membantu menyelesaikan masalah ketahanan paparan skrin pada telefon pintar dan seterusnya membawa kepada pengeluaran paparan boleh lipat seperti yang ada pada hari ini.
Pengeluar-pengeluar peranti telah mengacah kehadiran skrin boleh lipat sejak lebih dari satu dekad. Namun, telefon pintar boleh lipat pertama yang diperkenalkan hanya hadir pada 2019. Terdapat banyak sebab kenapa skrin boleh lipat memerlukan lebih banyak masa untuk teknologinya menjadi matang.
Menghasilkan bahan boleh lentur untuk paparan
Bahan substrat boleh lentur hanya sebahagian daripada sebab tersebut. Para saintis dan jurutera perlu menyelesaikan masalah yang amat rumit.
Antaranya seperti menghasilkan substrat yang ringan dan fleksibel, tapi dalam pada masa yang sama mampu bertahan dari tekanan secara mekanikal selama bertahun-tahun.
Paparan berkenaan juga perlu dipastikan kualiti imejnya tidak terjejas walau dilentur dan dilipat berulang-ulang kali. Juga, lapisan perlindungan di atasnya juga perlu dipastikan mampu dilipat dan dilenturkan dengan lasak sebanyak mungkin.
Kesemua keperluan teknologi di atas juga perlu digabungkan sambil memastikan paparannya dapat berfungsi dengan baik. Kesukaran tersebut juga ditambah lagi dengan jangkaan dari pengguna yang inginkan paparan berspesifikasi tinggi tanpa mengira kekangan teknologi dan bahan yang diperlukannya.
Skrin boleh lipat
Sebelum kita melihat pada komponen-komponen skrin boleh lipat satu-persatu, perlu kita ambil maklum kebanyakan skrin boleh lipat yang kita lihat pada hari ini merupakan dari jenis OLED.
Skrin OLED tidak mempunyai pencahayaan dari belakang seperti LCD. Sebaliknya piksel-pikselnya sendiri yang memancarkan cahaya apabila disambungkan dengan bekalan kuasa. Atas sebab itu, OLED dapat dihasilkan 30% lebih nipis dan ringan berbanding LCD. Jadi, tidak hairanlah mengapa OLED menjadi pilihan utama untuk skrin boleh lipat.
Pun begitu, paparan LCD yang fleksibel sebenarnya pernah wujud.
Untuk memahami bagaimana paparan OLED boleh lipat berfungsi, anda perlu membayangkannya seperti sebuah Kek Lapis Sarawak yang amat nipis. Setiap lapisannya yang berteknologi tinggi ini mempunyai peranan yang spesifik. Kesemua lapisan-lapisan ini ditindih-tindihkan menjadikannya satu lapisan yang berketebalan kurang dari 1 milimeter.
Lapisan-lapisan di dalam paparan skrin OLED boleh lipat

Berikut lapisan-lapisan yang terdapat di dalam paparan OLED boleh lipat:
- Lapisan substrat — Juga dikenali sebagai papan (board), ini adalah asas paparan yang menyokong semua lapisan lain. Pada paparan fleksibel, substrat diperbuat daripada plastik atau, kadang-kadang, logam. Kebanyakan paparan boleh lentur hari ini menggunakan substrat yang diperbuat daripada plastik polimer yang dipanggil poliimid (PI). Selain fleksibel dan tidak tembus, poliimid mempunyai kekuatan mekanikal dan kestabilan terma yang tinggi.
- Lapisan TFT — Digunakan di atas substrat fleksibel, lapisan TFT (transistor filem nipis) mengawal penghantaran kuasa ke setiap piksel. Ia seperti ” grid rangkaian kuasa” yang menyambungkan semua piksel pada paparan. Tidak seperti LCD, paparan OLED boleh mengawal piksel secara berasingan. Seterusnya, membolehkan nisbah kontras yang tinggi dapat dihasilkan dengan penggunaan kuasa yang lebih rendah.
- Lapisan OLED — Lapisan pemancar cahaya terdiri daripada piksel individu, masing-masing terdiri daripada subpiksel merah, hijau dan biru. Setiap piksel boleh mencapai warna dan kecerahan tertentu dengan mengubah jumlah kuasa yang diterima subpikselnya. Seterusnya, piksel-piksel digabungkan untuk membentuk imej seperti yang kita lihat pada paparan. Lapisan OLED diperbuat daripada beberapa sub-lapisan, termasuk katod, anod dan lapisan bahan pemancar cahaya organik yang diapit di antara keduanya.
- Lapisan pelindung — Juga dikenali sebagai lapisan enkapsulasi (encapsulation), ini adalah lapisan yang menutup dan melindungi lapisan lain. Ia juga merupakan lapisan yang disentuh pengguna apabila berinteraksi dengan paparan lipat. Dari segi bahan, pilihan yang lebih mesra bajet adalah poliimid (sama dengan substrat). Baru-baru ini, pengeluar-pengeluar telah mula menggunakan kaca ultra-tipis (ultra-thin glass, UTG). UTG lebih lasak daripada plastik dan mirip kaca biasa walaupun boleh dilipat. UTG merupakan bahan yang digunakan Samsung pada Z Flip 4 dan Z Fold 4.
Jenis lipatan skrin pilihan pengeluar
Skrin boleh lipat boleh hadir sama ada lipatan keluar atau ke dalam. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Sebelum ini pernah muncul telefon pintar yang dilipat keluar seperti Huawei Mate XS 2. Ia mempunyai kelebihan kerana tidak menghasilkan kedutan di bahagian tengah di bahagian engselnya ketika paparan tersebut dibuka. Namun, ia terdedah kepada risiko mudah calar kerana faktor paparannya yang berada di luar.
Kebanyakan pengeluar dilihat cenderung untuk memilih kaedah lipatan ke dalam seperti model Z Flip dan Z Fold.
Paparan boleh lipat dengan lipatan ke dalam ini kurang berisiko untuk tercalar skrinnya. Namun, ia mempunyai kekurangannya yang tersendiri. Antaranya kesan lipatan pada bahagian tengah apabila lipatannya dibuka, serta tidak dapat ditutup dengan rapat apabila dilipat.
Selain Samsung, OPPO dan HONOR juga memperkenalkan telefon pintar boleh lipat dengan skrin lipatan ke dalam masing-masing iaitu OPPO Find N2 Flip dan HONOR Magic Vs.
Berdasarkan perkembangan teknologi skrin boleh lipat semasa, masalah kedutan pada permukaan skrin selepas dibuka dan tidak dapat ditutup rapat ini dijangka dapat dikurangkan secara berperingkat.
Tahun ini juga Samsung dijangka akan memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar boleh lipatnya melalui acara Galaxy Unpacked Kedua 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2023, jam 7 malam di Seoul, Korea Selatan.