Minggu lalu, satu set pangkalan data yang mengandungi data peribadi dari 533 juta pengguna Facebook telah disenaraikan di dalam sebuah platform urusniaga data tersohor.

Insiden ini pertama kali dilaporkan oleh Encik Alon Gal, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknologi syarikat keselamatan siber, Hudson Rock. Berdasarkan penemuan beliau ini, sejumlah 11.6 juta pengguna dari Malaysia turut ternasuk di dalam kebocoran data peribadi berkenaan.

Untuk mengetahui sama ada data anda telah tertiris atau tidak, anda kini boleh membuat semakan secara dalam talian melalui laman Have I Been Pwned (HIBP). Laman ini telah wujud sejak dari Disember 2013 dan merupakan buah fikiran seorang pakar keselamatan siber Australia, Encik Troy Hunt.

Untuk membuat semakan berkenaan kebocoran data peribadi pengguna Facebook ini, anda boleh melakukannya dengan memasukkan nombor telefon anda ke dalam kotak carian HIBP ini. Perlu diingatkan, anda perlu juga memasukkan sekali kod negara.

Misalnya, untuk Malaysia perlu menyertakan angka 6 pada digit pertama nombor telefon. Sebagai contoh untuk nombor 012-3456789, anda perlu memasukkannya sebagai 60123456789.

Seterusnya, maklumat mengenai sama ada terdapat data peribadi anda yang telah bocor atau tidak akan tertera sebaik anda menekan butang cariannya (pwned?).

Dalam perkembangan berkaitan, Facebook menyatakan ketirisan pangkalan data ini bukanlah “ketirisan” dalam erti kata sebenar. Ianya didakwa sebagai kesan dari tindakan pihak yang menceroboh sistem data Facebook pada 2019 dahulu. Pencerobohan ini telah pun diatasi apabila Facebook telah membuat pembaikan keselamatan yang berkaitan.

Apa pun, pengguna diingatkan supaya berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya apabila mengesan sebarang aktiviti yang melibatkan keselamatan data pengguna.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.