Platform penstriman tempatan, MYTV Mana-Mana, dilaporkan akan melalui satu fasa transisi bermula 1 Jun 2026. Susulan daripada peralihan ini, MYTV telah mengambil keputusan untuk menggantung sementara penawaran langganan berbayar di platform berkenaan.
Pengumuman tersebut telah dibuat melalui laman Facebook rasmi syarikat. Walaupun butiran terperinci tidak didedahkan, pelan langganan Basic dan Premium sedia ada tidak lagi akan ditawarkan kepada pengguna selepas transisi ini bermula.
Status Pengguna dan Akses Platform
Walaupun terdapat perubahan pada struktur langganan, MYTV menjelaskan pengguna sedia ada masih boleh mengakses dan menonton kandungan di platform penstriman tersebut seperti biasa.
Tindakan yang diambil hanyalah melibatkan pemberhentian pendaftaran baharu serta pembaharuan untuk pelan-pelan berbayar secara rasmi bermula 1 Jun 2026.
Buat masa ini, semua pengguna dijangka akan dikembalikan atau dikekalkan pada pelan percuma (free tier) sehingga sebarang pemakluman baharu dibuat.
Pihak MYTV setakat ini belum menetapkan sebarang garis masa rasmi mengenai perancangan atau pembangunan platform itu pada masa hadapan.
Proses Pemulangan Wang
Bagi pelanggan yang terkesan, terutamanya mereka yang melanggan pelan Premium dan Basic yang masih aktif serta berlanjutan melebihi 1 Julai 2026, pihak syarikat telah menyediakan ruang untuk pampasan.
Pengguna yang terlibat akan menerima e-mel rasmi daripada pihak MYTV yang mengandungi arahan dan tata cara untuk memohon pemulangan wang (refund).
Anda yang mempunyai sebarang pertanyaan atau memerlukan penjelasan lanjut mengenai proses transisi ini dinasihatkan untuk berhubung terus dengan talian khidmat pelanggan MYTV.










