Meta melancarkan kemas kini baharu untuk ciri Teen Accounts di Instagram di Malaysia. Antaranya tetapan kandungan 13+ secara lalai dan perlindungan tambahan bagi pengguna bawah 18 tahun. Pelaksanaan ini dibuat secara berperingkat dan dijangka selesai dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Meta sebelum ini telah menyemak dasar kandungannya pada hujung tahun lalu. Hasil dari usaha tersebut membawa kepada penarafan kandungan 13+ serta ciri keselamatan tambahan untuk Teen Accounts di Instagram. Ciri tersebut pada awalnya dilancarkan di beberapa rantau terpilih.
Kini, kemas kini berkenaan mula diperluaskan ke Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha syarikat memperkemas perlindungan pengguna remaja di platform media sosialnya.
Di bawah tetapan baharu ini, semua pengguna berumur bawah 18 tahun akan diletakkan secara automatik dalam mod kandungan 13+.
Meta menyatakan pendekatan itu berasaskan penarafan filem 13+. Ini bermakna, pengguna remaja mungkin masih melihat kandungan setara dengan filem atau rancangan dalam kategori tersebut, termasuk bahasa kasar atau kata-kata kesat.
Dalam pada masa sama, dasar sedia ada Instagram kekal berkuat kuasa. Ia termasuk sekatan terhadap kandungan tidak sesuai seperti bahan berunsur seksual, imej grafik atau mengganggu, serta kandungan dewasa lain.
Sekatan dua hala
Meta turut memperketat interaksi antara akaun remaja dengan akaun yang kerap berkongsi kandungan tidak sesuai mengikut umur.
Pengguna remaja juga tidak lagi boleh mengikuti akaun sedemikian atau berinteraksi dengannya melalui komen dan mesej langsung, walaupun mereka sudah mengikuti akaun tersebut sebelum ini. Sekatan itu juga dikenakan secara dua hala, iaitu akaun berkenaan tidak boleh berinteraksi dengan pengguna bawah umur.
Selain menyembunyikan akaun dan kandungan tersebut daripada remaja, Instagram juga akan menjadikannya lebih sukar ditemui menerusi fungsi Search.
Platform berkenaan juga memperluas sekatan terhadap carian istilah matang kepada lebih banyak topik. Manakala pengalaman Meta AI juga dikemas kini agar selaras dengan tetapan 13+ yang baharu.
Bagi keluarga yang mahukan kawalan lebih ketat, Instagram kini menyediakan tetapan “Limited Content”. Tetapan ini menapis lebih banyak kandungan dalam Teen Accounts dan turut menyahaktifkan keupayaan untuk melihat, menulis serta menerima komen pada hantaran.
Meta memaklumkan tetapan baharu itu bersama alat keselamatan lain boleh diakses menerusi hab Family Centre.









