MOF mengarahkan pengusaha stesen minyak dan syarikat peruncit minyak supaya memperketat pematuhan SOP pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95.
Arahan ini susulan kebimbangan penyalahgunaan subsidi dan transaksi tanpa kebenaran. Sebarang urus niaga manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu juga dilarang.
Turut ditetapkan, langkah-langkah pembetulan seperti latihan semula petugas barisan hadapan dan paparan SOP yang jelas di kaunter bayaran.
MOF perketat kawalan BUDI95
Langkah ini diambil kerana transaksi tanpa pengesahan MyKad boleh membuka ruang kepada transaksi tidak dibenarkan. Ia juga berpotensi mengakibatkan penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program.
MOF juga mengarahkan syarikat peruncit minyak menjalankan siasatan lanjut terhadap stesen yang dikenal pasti melanggar SOP. Tindakan susulan yang sewajarnya terhadap premis terlibat juga boleh diambil.
Tindakan pembetulan diwajibkan
Antara langkah yang diwajibkan ialah:
- melatih semula petugas kaunter
- mempamerkan SOP dengan jelas di kaunter pembayaran
- memperkukuh pemantauan dalaman
- memberi pembelaan atau pampasan yang sesuai kepada pelanggan terjejas tertakluk kepada hasil siasatan
Syarikat minyak juga diminta menghubungi pemegang MyKad yang terkesan untuk penjelasan lanjut.
Amaran salah guna MyKad
MOF turut menegaskan penggunaan MyKad orang lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan subsidi BUDI95 adalah kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Penerima BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi melalui portal rasmi BUDI95 dan segera membuat laporan polis jika mengesan transaksi yang tidak dibenarkan.
Aduan boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat Budi Madani dalam tempoh 30 hari selepas kejadian menerusi talian 1300-88-9595, WhatsApp +603-2631 4595 atau e-mel tanya@budi95.gov.my, bersama laporan polis, salinan MyKad dan senarai transaksi berkaitan.












