Xiaomi secara rasmi telah mendedahkan reka bentuk Xiaomi 17T dan Xiaomi 17T Pro menjelang pelancaran globalnya dalam minggu ini. Selain dari itu, keupayaan pengimejan telefon pintar ini juga diacah menerusi cogan kata “Telephoto Master”.
Berdasarkan bahan promosi rasmi, siri ini menampilkan modul kamera berbentuk petak ditempatkan pada penjuru kanan atas panel belakangnya. Di hadapannya pula seperti biasa kamera swafotonya ditempatkan pada ruangan berpenebuk lubang.
Maklumat Rasmi Reka Bentuk
Sekali imbas, telefon pintar ini menggunakan bahasa rekaan yang sama seperti model terdahulu, siri Xiaomi 15T. Bagaimanapun, pemerhatian lebih teliti menunjukkan modul kamera 17T kini menampilkan rekaan yang lebih rata berbanding 15T yang mempunyai bezel yang lebih bersudut.
Seperti dijangka, Xioami tidak mendedahkan sebarang perincian perkakasan untuk kedua-dua model tersebut. Apa yang disahkan setakat ini, 17T dan 17T Pro akan menampilkan kamera telefoto yang menerima penalaan khas Leica dengan zum optikal 5x. Menurut Xiaomi, kamera tersebut menawarkan jarak fokal bersamaan 115mm dan akan hadir pada semua model siri tersebut.
Selain itu, bahan promosi Xiaomi juga menyatakan sokongan untuk “zum berkualiti optikal 10x” dan juga Ultra Zoom AI sehingga 120x. Keupayaan 10x tersebut merupakan kombinasi pengimejan optikal dan berkomputer, manakala 120x pula adalah zum dipertingkatkan secara digital sahaja.
Perkongsian Xiaomi Malaysia di X juga menunjukkan 17T dan 17T Pro dijangka akan hadir dengan empat pilihan warna, iaitu ungu, biru gelap, hitam dan putih.
From #MyXiaomiStory to the first hands-on experience with #Xiaomi17TSeries. 📸✨
We invited users from different generations of the T Series to experience the new Xiaomi 17T Series ahead of launch, sharing their stories, first impressions, and excitement on-site.A big thank you… pic.twitter.com/TMkT5FwpOX
— Xiaomi Malaysia (@XiaomiMalaysia) May 24, 2026
Maklumat tidak rasmi
Siri telefon pintar baharu Xiaomi ini juga sebelum ini kerap tertiris maklumatnya dan mungkin sesetengah maklumat telah diketahui. Terdapat desas-desus yang mendakwa 17T mungkin menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 8500 dengan paparan AMOLED 120Hz 6.59-inci. Turut diperkatakan kapasiti baterinya 6,500mAh mungkin menyokong pengecasan pantas berwayar 65W.
Dalam pada masa yang sama, 17T Pro pula dikatakan akan menawarkan skrin OLED lebih besar dengan kadar penyegaran semula 144Hz. Di dalamnya pula mungkin akan menggunakan pemprosesan Dimensity 9500 dengan bateri 7,000mAh yang menyokong pengecasan berwayar 100W.
Untuk pengimejan, model asas siri ini dilaporkan akan menampilkan kamera utama 50MP Light Fusion 800, telefoto 50MP, dan sudut lebar 12MP, serta sebuah kamera 32MP di sebelah hadapan. Manakala model Pro pula akan menampilkan sistem kamera yang sama kecuali pada kamera utamanya yang menggunakan sensor Light Fusion 950 50MP.
Pun begitu, maklumat yang tertiris ini masih lagi belum dapat dipastikan kesahihannya selagi pengumuman rasmi dari Xiaomi Malaysia masih belum dibuat. Nanti pelancaran rasmi siri Xiaomi 17T yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mei ini.












