Apple telah mengumumkan iOS 14 menerusi acara Worldwide Developers Conference (WWDC) yang berlangsung baru-baru ini. Versi terbaru iOS ini bagaimanapun masih lagi kekal menggunakan nama lama dan masih belum bertukar ke iPhone OS.
Beberapa penambahan fungsi baharu dan penambahbaikan telah diperkenalkan ke dalam kemaskini terbaru ini.
Paling ketara adalah penambahan App Library yang menawarkan ciri yang mirip dengan laci aplikasi (app drawer) Android. Ianya ditempatkan pada penghujung halaman skrin ‘home’ dan aplikasi dikategorikan secara automatik oleh iPhone ke dalam folder.
Turut disediakan dua folder tambahan pada sebelah atas yang berlabel ‘Suggestions’ dan ‘Recently Added’. Secara keseluruhannya, fungsi baharu App Library di dalam iOS 14 ini mempermudahkan dan memperkemaskan pengurusan tata letak aplikasi-aplikasi pada skrin ‘home’ peranti.
Seterusnya, widget-widget juga menerima beberapa penambahbaikan pada iOS 14. Kini, pengguna boleh mendapatkannya dalam pelbagai saiz dan boleh mendapatkan lebih banyak info bagi yang bersaiz besar. Penambahan terbaik pada widget adalah melalui fungsi Smart Stack. Fungsi ini membolehkan widget-widget anda disusun secara bertindih-tindih dan boleh diakses semula apabila dileretkan ke atasnya.
Ia juga cuba mengagak apa keperluan pengguna pada sesuatu masa dan akan memaparkan maklumat berkaitan kepada pengguna. Misalnya, ia akan memaparkan berita terkini atau keadaan cuaca semasa pada waktu pagi dan akan memaparkan maklumat aktiviti fizikal pengguna sepanjang hari di sebelah malam.
Tidak ketinggalan, beberapa penambahbaikan kecil yang tidak kurang pentingnya adalah mod gambar-dalam-gambar untuk iPhone. Fungsi ini pada asalnya ditawarkan pada iPad sahaja.
Siri yang lebih baik
Siri pula kini kurang kecenderungannya untuk menerobos (intrusive) apabila digunakan. Ianya kini hanya dipapar disebelah bawah paparan berbanding mengambil keseluruhan paparan skrin sebelum ini.
iOS 14 juga menyediakan penambahan pada aplikasi Translate baharu. Ia menawarkan dengan fungsi yang hampir sama seperti yang ditawarkan oleh Google. Tetapi dengan kelebihan dari segi fungsi penggunaan secara offline yang memanfaatkan keupayaan pembelajaran mesin yang terbina dalam peranti.
Turut dipertingkatkan adalah polisi peribadi untuk App Store yang kini lebih diperkemaskan dan diringkaskan. Melalui kemaskini terbaru sistem operasi ini, Apple mahukan pengeluar aplikasi melabelkan secara jelas apakah data yang dikumpulkan oleh aplikasinya. Ini juga mengasingkan data yang dihubungkan kepada pengguna dengan data yang digunakan untuk menjejak pengguna.
iOS 14 kini boleh didapati dalam bentuk beta pembangunan dengan beta orang awam akan boleh didapati pada Julai ini. Tarikh ianya diterbitkan untuk kegunaan umum dijangkakan hadir sekitar musim luruh ini.