Utama Mobile Aksesori Apple AirPods Pro 2: 5 Ciri dan Penambahbaikan baharu yang dijangka akan...

Apple AirPods Pro 2: 5 Ciri dan Penambahbaikan baharu yang dijangka akan ditawarkan nanti

480
0
AirPods Pro Background Hitam

Apple AirPods Pro 2 kian menghampiri tarikh pelancarannya pada tahun ini. Buat anda yang sedang bercadang untuk mendapatkan AirPods Pro baharu, ini mungkin sebahagian dari ciri-ciri baharu yang dijangka akan ditawarkan padanya.

Selain penambahan ciri-ciri baharu, AirPods Pro generasi kedua ini juga dijangka turut menggunakan ciri-ciri yang terdapat pada AirPods standard pada tahun lepas.

Penggunaan Cip H2

AirPods Pro baharu ini akan menampilkan cip nirwayar baharu yang dinaiktaraf berbanding cip H1 yang terdapat pada AirPods Pro generasi pertama, menurut penganalisis Apple, Ming-Chi Kuo. Cip baharu ini juga mungkin akan dijenamakan sebagai “H2” berdasarkan penambahbaikan padanya.

Kuo tidak menjelaskan dengan lebih lanjut apakah kelebihan yang disediakan oleh cip ini. Namun, berdasarkan keupayaan cip H1 yang menyediakan fungsi berkaitan audio, cip pada AirPods Pro 2 ini mungkin memberikan penambahbaikan pada kualiti audio, kependaman, pembatalan hingar aktif, mod Transparency, ciri-ciri yang dikuasakan oleh Siri dan banyak lagi. Cip ini juga dijangka mampu menyokong audio Apple Lossless.

1. Bateri tahan lebih lama

Sungguhpun tiada sebarang desas-desus mengenai sama ada AirPods Pro baharu ini akan mempunyai bateri yang tahan lebih lama, kemungkinan besar ia akan ditawarkan kelak mengambil kira sudah tiga tahun berlalu sejak AirPods Pro pertama dilancarkan.

Apple AirPods standard generasi ketiga yang dilancarkan pada tahun lepas menyediakan masa mendengar sehingga enam jam untuk sekali cas.

Ia lebih lama berbanding AirPods Pro generasi pertama yang bertahan selama 4.5 jam. Jika pembatalan hingar aktif dan mod Transparency dimatikan, ia mampu bertahan sekitar 5 jam untuk sekali cas.

2. Penambahbaikan pada bekas pengecas

Bekas pengecas AirPods Pro 2 dikatakan mungkin mampu mengeluarkan bunyi yang memudahkan ia dicari jika tersalah letak, menurut Ming-Chi Kuo. Buat masa ini, AirPods Pro boleh dijejak lokasinya melalui aplikasi Find My App pada iPhone, namun bekas pengecasnya tidak mengeluarkan bunyi.AirPods Magsafe

Selain itu, bekas pengecas AirPods Pro generasi kedua ini mungkin akan mempunyai kerintangan air IPX4, sama seperti AirPods generasi ketiga. Untuk AirPods Pro pula, hanya bahagian putiknya sahaja yang rintang air, manakala bekasnya tidak. Bekas pengecas untuk AirPods Pro generasi kedua berkenaan juga dijangka kekal dengan port Lightning sebelum menukarkannya ke USB-C pada 2023 kelak.

3. Penambahbaikan pengesanan Dalam-Telinga

Satu lagi ciri penambahbaikan yang mungkin disertakan pada AirPods Pro 2 nanti adalah penggunaan sensor pengesan kulit seperti yang terdapat pada AirPods generasi ketiga. Sensor berkenaan lebih tepat pengesanan dalam-telinganya berbanding sensor dwi-optikal yang terdapat pada AirPods Pro asal.

Menurut Apple, sensor pengesan kulit ini mampu mengesan dengan tepat jika AirPods berada di dalam telinga, berbanding di tempat lain seperti atas meja atau dalam poket, justeru memudahkannya menjedakan media yang sedang dimainkan apabila ia ditanggalkan dari telinga.

4. Penjejakan Kecergasan

Pada Mei 2021, Mark Gurman dari Bloomberg dan Debby Wu melaporkan AirPod Pro 2 ini akan menyertakan sensor pergerakan yang diperbaharui dengan fokus terhadap penjejakan kecergasan. Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak memberikan maklumat yang lebih lanjut.

AirPods Pro sekarang ini dilengkapkan dengan accelerometer pengesan pergerakan dan kemungkinan penambahbaikan pada sensor berkenaan mampu meningkatkan keupayaan penjejakan kecergasannya. Bagaimanapun, Apple tidak menyatakan perancangannya mengenai penambahbaikan tersebut. Dalam pada masa yang sama, iOS 16 membenarkan aplikasi Fitness digunakan pada iPhone yang tiada Apple Watch.

5. Rekaan dan Tarikh Pelancaran Apple AirPods Pro 2

Mark Gurman dan Debby Wu jua pada tahun 2020 dahulu melaporkan Apple telah menguji rekaan yang lebih kompak untuk AirPods Pro baharu yang tidak memerlukan tangkai di bawah earbuds. Bagaimanapun, khabar angin terkini menyatakan AirPods Pro generasi kedua tidak akan mempunyai perubahan luaran yang begitu ketara.

Ketika dilancarkan dahulu, AirPods Pro diumumkan pada 28 Oktober 2019 dan dilancarkan secara rasmi dua hari kemudian. AirPods Pro 2 baharu ini pula dijangka akan dilancarkan pada penghujung 2022 dengan kemungkinan dilancarkan pada bulan September atau Oktober. Apple AirPods Pro dijual di Malaysia pada harga RM899 menerusi senQ dan juga Machines.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.