Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKomm) Tan Sri Annuar Musa telah memaklumkan kelajuan purata mudah alih di Malaysia kini mencapai 40.13Mbps. Angka ini telah melepasi sasaran Fasa 1 pelaksanaan JENDELA, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau menerusi Twitter.
Terdapat sedikit peningkatan pada liputan populasi 4G yang kini mencapai 95.5% dan kian menghampiri sasaran 96.9% menjelang peghujung tahun ini.
Dari segi akses ke jalur lebar fiber pula, kini terdapat sejumlah 7.027 juta premis yang dihubungkan dengan 2.07 juta lagi premis telah berjaya menerima penyambungan fiber dalam tempoh 18 bulan yang lepas. Beliau turut menambah sejumlah 798 perkampungan Orang Asli turut disediakan dengan akses ke jalur lebar berkelajuan tinggi ini.
Program JENDELA mensasarkan penambahbaikan liputan dan prestasi 4G disamping meningkatkan kesalinghubungan melalui talian fiber di seluruh negara. Di bawah Fasa 1, ia disasarkan untuk mencapai 96.9% populasi liputan 4G dengan kelajuan purata sekitar 35Mbps menjelang akhir 2022. Selain itu, program ini juga mensasarkan sejumlah 7.5 juta premis di mempunyai akses ke talian fiber menjelang akhir tahun ini.
Sungguhpun kelajuan purata 40.13Mbps nampak bagus di atas kertas, harus diingatkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menggunakan kelajuan min purata bagi memastikan laporannya konsisten.
Kelajuan tersebut diambil berdasarkan rekod dari Ookla Speedtest yang kini telah menukar ke kaedah pengiraan Kelajuan Media bagi pengukuran Indeks Globalnya. Berdasarkan statistik terkini, kelajuan median bagi Malaysia adalah pada 25.72Mbps sehingga Februari 2022.
Ookla telah mengubah pengiraan daripada Min kepada Median sejak November 2021. Ini kerana kaedah pengiraan ini didapati lebih tepat dalam memberikan gambaran keseluruhan kelajuan internet yang diterima pengguna.
Perbandingan kelajuan internet mudah alih Malaysia dengan negara-negara ASEAN
Walaubagaimanapun, laporan dari Opensignal pula memberikan gambaran yang agak berbeza bagi tahap kualiti internet mudah alih di Malaysia. Berdasarkan laporan pada suku keempat 2021, Malaysia mempunyai kelajuan purata sekitar 13.5Mbps.
Kelajuan memuat turun (Mbps) | |||
Negara | Suku Pertama 2019 (Sebelum 5G) | Suku Keempat 2021 | Kedudukan Global (dari 100 negara) |
Singapura | 39.3 | 49.9 | 9 |
Vietnam | 14.1 | 25.5 | 45 |
Thailand | 5.7 | 17.4 | 60 |
Filipina | 8 | 15.1 | 67 |
Indonesia | 6.9 | 14.4 | 68 |
Malaysia | 11.5 | 13.5 | 70 |
Kemboja | 5.6 | 12.2 | 76 |
Sebagai perbandingan, negara-negara jiran kita sekitar ASEAN selain Singapura kini mempunyai kelajuan yang lebih baik. Misalnya Indonesia mempunyai kelajuan purata 14.4Mbps, Filipina dengan 15.1Mbps, Thailand pula 17.4Mbps dan akhir sekali Vietnam dengan 25.5Mbps. Peningkatan kelajuan yang dialami oleh negara-negara ASEAN ini adalah hasil daripada pelaksanaan rangkaian 5G di sana. Buat masa ini, pelaksanaan rangkaian 5G sepenuhnya di Malaysia masih lagi diperingkat perbincangan di antara DNB, kerajaan dan syarikat-syarikat telekomunikasi.
Dalam pada masa yang sama, pihak SKMM juga sedang giat menggalakkan para pengguna untuk melaporkan secara terus jika terdapat sebarang masalah kualiti perkhidmatan mudah alih yang tidak seperti dijanjikan melalui aplikasi JENDELA yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.