Utama Mobile Telco Peta dalam talian JENDELA dilancarkan; Kini anda boleh buat semakan liputan telekomunikasi...

Peta dalam talian JENDELA dilancarkan; Kini anda boleh buat semakan liputan telekomunikasi di kawasan anda

1030
0

Diumumkan pertama kali pada Ogos 2020, Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyediakan garis panduan untuk industri telekomunikasi di Malaysia meningkatkan mutu capaian internet.

Selain dari peningkatan mutu rangkaian, turut disenaraikan di bawah Fasa 1 pelan berkenaan adalah pembentukan National Digital Infrastructure Map (NDIM).

Dalam pada masa yang sama, Peta JENDELA kini boleh dilayari menerusi Portal JENDELA. Secara amnya, Peta JENDELA menyediakan tiga fungsi utama iaitu, peta liputan, maklumbalas pengguna dan status maklumbalas.

Semakan liputan Internet

Untuk membuat semakan liputan telekomunikasi di mana-mana kawasan, anda hanya perlu menetapkan lokasi dan pilih jenis rangkaian dan syarikat penyedla telekomunikasi. Buat masa ini, Peta JENDELA turut menunjukkan rangkaian 4G, 3G, 2G dan juga siaran TV digital kebangsaan, myFreeview.

Bagi perkhidmatan talian tetap dan jalur lebar tanpa wayar, anda perlu menggunakan fungsi maklumbalas yang akan menyenaraikan semua perkhidmatan yang ada di kawasan berkenaan sebelum anda menghantar maklumbalas. Melalui fungsi ini, anda boleh melaporkan masalah rangkaian seperti panggilan terputus, ketiadaan akses dan masalah liputan.

Anda juga boleh membuat permohonan penyedia baharu untuk perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan tanpa wayar menerusi fungsi ini. Bagaimanapun, tidak semua kawasan menyediakan pilihan tersebut.

Seterusnya untuk bahagian status maklumbalas Portal JENDELA, ia lebih berperanan sebagai tempat rujukan berbanding kemaskini dalam masa nyata.

Berdasarkan nota yang disediakan di dalamnya, kesemua maklumbalas dihantar melalui laman ini akan dimajukan terus ke syarikat telekomunikasi dan ISP masing-masing. Pengguna juga perlu menghubungi penyedia perkhidmatan secara terus untuk melihat sama ada masalah tersebut telah diselesaikan atau tidak.

Portal JENDELA turut menyediakan beberapa fungsi lain seperti carian Pusat Internet Komuniti, chatbot (tanya AIDA), kemaskini dari SKMM, dan tempat-tempat menarik di sekitar seperti tempat penginapan, kedai makan dan tarikan pelancongan.

Layari portal JENDELA untuk maklumat dan semakan lanjut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.