Utama Mobile Telco 4 Telco utama Malaysia masih lagi membincangkan syarat di dalam Tawaran Akses...

4 Telco utama Malaysia masih lagi membincangkan syarat di dalam Tawaran Akses Rujukan (RAO) 5G oleh DNB

792
0

Digital Nasional Berhad (DNB) telah menerbitkan dokumen Tawaran Akses Rujukan (Reference Access Offer, RAO) di laman webnya. Dokumen bertarikh 31 Mac 2022 ini menyertakan perincian lanjut penawaran komersilnya dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.

Semua syarikat telekomunikasi di Malaysia diwajibkan untuk menerbit dan menyatakan RAO secara terbuka. Dokumen ini secara umumnya merangkumi terma dan syarat untuk pihak yang berkenaan menilai skop penyediaan dan juga harga akses yang ditetapkan.

Berdasarkan dokumen berkenaan, DNB telah menetapkan kadar bulanan RM30,000 setiap Gbps untuk penggunaan 1200Gbps pertama. Penggunaan seterusnya akan dikenakan sebanyak RM22,000 setiap Gbps. Turut disediakan, kadar penggunaan rangkaian di dalam bangunan iaitu pada RM30,000 setiap Gbps.

 Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad dan U Mobile Sdn Bhd (“MNO”) bagaimanapun memerlukan perbincangan dengan lebih lanjut berhubung perkara ini. Perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan DNB masih dijalankan bagi mendapatkan persetujuan bersama sebelum perbincangan Perjanjian Akses komersial boleh dimulakan.

MNO dan SKMM kini masih dalam fasa perbincangan untuk penjelasan lebih lanjut atas beberapa butiran dalam RAO yang telah diterbitkan. Laporan penganalisis baru-baru ini yang beranggapan topik terbuka antara DNB dan pelanggan utama DNB telah diselesaikan, bagaimanapun tidak tepat. 

MNO bersependapat bahawa kebanyakan dari kebimbangan dan isu yang dibincangkan oleh SKMM dan DNB sebelum ini masih belum diselesaikan dalam dokumen semasa, termasuklah prinsip utama yang dicadangkan agar RAO selaras dengan amalan terbaik industri. RAO berkenaan dikatakan tidak mampu menawarkan perkhidmatan 5G yang berpatutan dan berkualiti untuk rakyat dan perniagaan di Malaysia. Ia juga didakwa akan menghalang pecutan perkhidmatan dan penembusan 5G di negara ini.

Dalam pada masa yang sama, MNO turut menyatakan komitmennya dalam meneruskan perbincangan dengan SKMM dan industri mengenai RAO. Pihak MNO juga berharap dapat memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan 5G selaras dengan cita-cita digital negara. 5G akan membawa manfaat yang besar kepada perniagaan, pelanggan dan Kerajaan dalam memperkukuh daya saing negara di rantau ini. 

Bulan lepas, pihak kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan dengan model Rangkaian Boroang Tunggal (SWN) untuk rangkaian 5G. Dalam pada masa yang sama, pihak kerajaan juga menawarkan 70% pegangan saham di dalam DNB kepada syarikat-syarikat telekomunikasi. Tawaran pegangan saham tersebut dijangka dapat dimuktamadkan pada Jun ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.