Permohonan program kredit e-dompet percuma RM150 kepada belia, ePemula akan bermula esok, menurut pengumuman yang dibuat Kementerian Kewangan. Program yang melibatkan belanja sejumlah RM300 juta ini akan memanfaatkan 2 juta belia Malaysia berusia dari 18 hingga 20 tahun.
Selain itu, pelajar sepenuh masa di institusi pengajian awam dan swasta dari peringkat diploma dan ke atas juga layak untuk menerima manfaat program ini. Individu yang layak boleh memilih untuk menerima kredit melalui salah satu daripada empat perkhidmatan e-dompet terpilih iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan TNG eWallet.
Berdasarkan maklumat dari laman program berkenaan, anda yang layak boleh memohon untuk mendapatkan kredit e-dompet percuma ini bermula esok sehingga 1 Jun 2022. Bagaimanapun, kredit yang dituntut perlu dihabiskan sebelum 10 Jun 2022.
Anda yang sudah menuntut kredit ini menerusi salah satu penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan anda juga tidak boleh menuntutnya pada perkhidmatan e-dompet yang lain. Misalnya, anda yang sudah menuntutnya melalui TNG e-Wallet, tidak boleh menuntutnya di ShopeePay pula.
Tinjauan awal kami di halaman bahagian ePemula di keempat-empat penyedia perkhidmatan e-dompet ini mendapati sebahagiannya telah mula memberi gambaran untuk menyediakan pelbagai bonus tambahan lanjutan dari kredit percuma RM150 tersebut.
Kredit percuma ePemula untuk Belia
Terdahulu, Kementerian Kewangan telah mengumumkan senarai perkhidmatan e-dompet rasmi yang akan membantu kerajaan menyalurkan sejumlah RM300 juta kepada sekitar 2 juta belia di seluruh negara menerusi program ePemula.
Pada asalnya program ini dikenali sebagai eStart ketika pertama kali diumumkan menerusi sesi pembentagan Bajet 2022 di Parlimen Oktober tahun lalu.
Belia yang layak berumur di antara 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa institut pengajian tinggi akan diberikan RM150 menerusi akaun e-dompet pilihan masing-masing. Program ini mirip dengan bantuan kerajaan melalui akaun e-dompet sebelum ini seperti eBelia, ePenjana dan e-Tunai Rakyat.
Siaran Media Berkenaan ePEMULA Bernilai RM300 Juta: Pendaftaran Mulai 11 April 2022 Bagi e-Tunai RM150 Untuk Belia 18 – 20 Tahun dan Pelajar IPT Tempatan. pic.twitter.com/OJmyyIACsG
— Ministry of Finance🇲🇾 (@MOFmalaysia) April 10, 2022
e-Dompet yang disenaraikan oleh Kementerian Kewangan adalah BigPay, GrabPay, ShopeePay, dan Touch n Go eWallet. Pihak kementerian turut menggalakkan perniagaan kecil dan sederhana untuk memanfaatkan program yang akan diperkenalkan ini bagi mempercepatkan pelaksanaan kaedah bayaran nirtunai di premis masing-masing.