AMD baru-baru ini telah memperkenalkan grafik mudah alih untuk kegunaan laptop, AMD Radeon RX 6000M. Siri GPU terbaru ini dibina berasaskan seni bina 7nm RDNA2.
Menerusi siri ini, terdapat tiga jenis GPU baharu telah diperkenalkan. RX 6800M merupakan spesifikasi yang paling tinggi, diikuti oleh RX 6700M dan terakhir dan paling rendah di kalangan siri ini, RX 6600M.
Selaku GPU paling tinggi dikalangan siri ini, RX 6800M hadir dengan memori grafik GDDR6 12GB, 40 Compute Unit (CU) dan Ray Accelerators, lewahjam 2.3GHz, dan Infinity Cache 96MB. GPU ini juga menyokong Smart Access Memory (SAM) dan Smartshift apabila ianya digandingkan dengan CPU mudah alih siri AMD Ryzen 5000.
Dari segi prestasi permainan komputer, 6800M tidak begitu cemerlang di arena 4K. Namun, AMD mengambil pendekatan realistik dengan mensasarkan tetapan grafik maksimum pada 1440p.
Laptop ASUS ROG Strix G15 “AAA” Edition merupakan yang pertama menggunakan grafik 6800M. Ianya turut digandingkan dengan CPU AMD Ryzen 9 5900HX.
Seterusnya untuk RX 6700M, ia menampilkan memori GDDR6 10GB, 36 CU dan Ray Accelarators, Infinity Cache 80MB, dan lewahjam sehingga 2.3GHz.
Terakhir sekali, RX 6600M yang menampilkan memori GDDR6 8GB, 28 CU dan Ray Accelarators, Infinity Cache 32MB, dan lewahjam sehingga 2.18GHz. Sungguhpun model ini mensasarkan pada laptop khusus permainan bagi pemula, ianya mampu memainkan permainan dengan baik pada resolusi Full HD.
AMD Radeon RX 6800M dan RX 6600M sudah mula ditawarkan ke pasaran sejak semalam menerusi masing-masing pada ASUS Strix G15 “AAA” Edition dan HP Omen 16. Buat masa ini, tiada sebarang maklumat mengenai bilakah 6700M akan hadir ke pasaran.