Sebahagian pengguna di Twitter telah menyatakan ketidakpuasan hati mengenai masalah kemaskini iOS 14.6 pada iPhone dan iPad masing-masing.

Kebanyakannya mengatakan terdapat masalah bateri cepat habis selepas pemasangan kemaskini iOS 14.6 dilakukan.

Terdapat juga pengguna yang melaporkan masalah peranti menjadi terlalu panas selepas kemaskini tersebut dipasang. Seorang pengguna di dalam forum MacRumors mengatakan iPhone 12 Pro milik beliau menjadi terlampau panas walaupun hanya membuka pelayar web Safari.

Ada juga pengguna yang melaporkan bateri iPad Pro yang digunakan menjadi cepat habis ketika menggunakan aplikasi Procreate.

Walaupun bateri yang cepat habis ini kebiasaannya berpunca dari hayat bateri yang semakin tamat, masalah yang melibatkan sebahagian besar pengguna seperti ini perlu diberi perhatian sewajarnya.

Sebelum ini Apple telah menyediakan fungsi rekalibrasi kesihatan bateri untuk iPhone 11, iPhone 11 Pro, dan iPhone 11 Pro Max melalui kemaskini iOS 14.5. Kemaskini tersebut mendapat respon bagus dari pengguna yang mendapati kesihatan bateri mereka menjadi lebih baik.

Kemaskini iOS 14.6 menyertakan beberapa fungsi terbaru seperti membolehkan pengguna menghasilkan ikon aplikasi buatan sendiri dan meletakkan wijet baharu. Bagi pengguna iPad, fungsi Scribble baharu membolehkan anda menggunakan Apple Pencil untuk menulis di mana-mana ruangan teks untuk ditukarkan kepada teks tanpa perlu menggunakan aplikasi papan kekunci.

Apple masih lagi belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan jika isu ini melibatkan perisian, mungkin ianya akan diselesaikan melalui kemaskini iOS berikutnya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.