Empat bulan selepas ia pertama kali diumumkan di Computex 2022, pemprosesan AMD Ryzen 7000 Series secara rasminya mula menemui pengguna di seluruh dunia. Malaysia turut tidak terkecuali dengan keempat-empat model pemprosesannya turut hadir ke pasaran tempatan.
AMD juga mengumumkan harga jualan bagi setiap produk Ryzen 7000 Series di Malaysia. Model paling rendah di dalam siri ini, Ryzen 5 7600X yang menawarkan enam teras CPU, 12 bebenang pemprosesan dengan kelajuan klok sehingga 5.3GHz, cache 38MB dan TDP 105W berharga RM1,399.
Seterusnya, Ryzen 7 7700X dijual pada harga RM1,899 di pasaran tempatan. Pemprosesan ini mengandungi:
- lapan teras CPU
- 16 bebenang
- cache 40MB
- TDP 105W
- Kelajuan klok sehingga 5.4GHz
Manakala Ryzen 9 7900X yang berharga RM2,699, ia dilengkapkan dengan:
- 12 teras CPU
- 24 bebenang
- cache 76MB
- TDP 170W
- Kelajuan klok sehingga 5.6GHz
Akhir sekali, model terpaling power dikalangan siri ini, Ryzen 9 7950X dijual pada harga RM3,399 di Malaysia dengan menyediakan:
- 16 teras CPU
- 32 bebenang
- cache 80MB
- TDP 170W
- Kelajuan klok antara 4.5GHz hingga 5.7GHz
Pemprosesan baharu ini menggunakan AMD Socket AM5 dengan pin LGA 1718 yang menyediakan kuasa sehingga 230W kepada CPU. Sungguhpun menampilkan rekaan soket dan IHS baharu, platform AM5 ini masih lagi boleh digunakan bersama-sama penyejuk CPU yang direka untuk AM4.
Anda kini boleh mendapatkan pemprosesan desktop siri Ryzen 7000 baharu ini di kedai-kedai perkakasan komputer kegemaran anda yang berhampiran. AMD juga menyediakan senarai sejumlah 32 pengedar tempatan yang menjual pemprosesan ini.