Acer Aspire Vero secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia selaku laptop mesra alam. Melalui slogan, “Make your green mark”, kerangka laptop mesra alam ini diperbuat dari 30% plastik kitar semula pengguna (post-consumer recycled, PCR). Manakala papan kekuncinya pula diperbuat dari 50% PCR.
Acer Aspire Vero ini juga diketengahkan sebagai mudah dinaiktaraf dan dibaiki. Pada bahagian bawahnya pula, ia direka supaya mudah dibuka menggunakan pemutar skru biasa.
Menurut Acer, pengguna boleh menaik taraf RAM dan storan secara sendiri dan tidak akan melanggar tempoh jaminan asalkan dibuat dengan betul.
Laptop ini menampilkan paparan LED 1080p 15.6-inci, pembesar suara stereo dan webcam 720p. Baterinya pula dikatakan mampu bertahan sehingga 7 jam.
Dikuasakan oleh pemprosesan Intel generasi ke-11 dengan grafik Intel Xe, laptop ini hadir dalam dua varian iaitu Core i5 dan Core i7. Bagi varian Core i5, model ini mempunyai RAM 8GB. Manakala bagi varian Core i7 pula, ia mempunyai RAM 16GB. Kedua-dua laptop Acer baharu ini mempunyai storan flash 512GB.
Sesuai dengan sifatnya yang mesra alam, kotak pembungkusan laptop ini juga 100% boleh dikitar semula, serta boleh dilipat untuk dijadikan sebagai cagak. Malah, kerangkanya yang berwarna kelabu ini juga bebas dari sebarang cat.
Untuk sistem operasi, laptop ini telah dipra-pasang dengan Windows 10 dan sedia untuk dinaiktaraf ke Windows 11. Laptop ini juga telah diaktifkan dengan Windows Hello menggunakan pengimbas cap jari pada pad sesentuhnya.
Dari segi ketersambungannya pula, laptop Acer ini menyediakan satu port USB 3.2 Type-C, dua port USB 3.2 Type-A, bicu audio, port ethernet, dan satu port HDMI 2.0. Tidak ketinggalan, ia juga menyokong Bluetooth 5.1 dan Wi-Fi 6.
Harga laptop Acer Aspire Vero di Malaysia
Kedua-dua varian Core i5 dan Core i7 laptop ini boleh didapati menerusi Acer Malaysia eStore, Acer Store di Shopee, dan wakil pengedar Acer yang sah di seluruh Malaysia. Bermula 11 November ini, anda boleh mendapatkannya dengan harga seperti berikut:
- Acer Aspire Vero Core i5 – RM3,399
- Acer Aspire Vero Core i7 – RM4,299