Maxis dan U Mobile dilaporkan telah menolak tawaran pegangan di dalam syarikat 5G kebangsaan, Digital Nasional Berhad (DNB). Perkembangan terkini ini telah dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa, Reuters.
Menurut laporan tersebut, Maxis dan U Mobile dikatakan berpendapat kedua-duanya tidak mempunyai apa-apa kelebihan untuk memiliki pegangan di dalam DNB. Februari lalu, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan termasuk Celcom dan Digi tidak bersetuju dengan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) untuk pelaksanaan 5G yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui DNB.
Bagaimananpun, pihak kerajaan meneruskan dengan model tersebut dengan menawarkan 70% pegangan di dalam DNB untuk dikongsikan secara sama rata di antara syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan. Rundingan tersebut pada asalnya dijadualkan untuk dimuktamadkan pada hari ini, 31 Ogos 2022.
Berdasarkan Laporan Prestasi Industri 2021 dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang diterbitkan pada Jumaat lepas, Maxis menjana 22.8% dari pendapatan RM40.31 billion melalui sektor telekomunikasi tempatan pada tahun lepas. Satu-satunya syarikat telekomunikasi yang mengatasi angka tersebut adalah TM dengan 28.6%.
Manakala U Mobile pula tidak ditunjukkan secara terperinci di dalam laporan tersebut. Sebahagian dari 13% pendapatan yang dijana olehnya datang dari syarikat telekomunikasi yang tidak termasuk di dalam senarai awam dan juga MVNO.
Sungguhpun Maxis dan U Mobile menolak untuk mempunyai pegangan di dalam DNB, sumber dari Reuters berkenaan menyebut kedua-duanya masih lagi mahukan akses ke infrastruktur 5G nasional berkenaan. Oleh yang demikian, pelanggan-pelanggan untuk kedua-dua telco ini masih lagi mempunyai harapan untuk menikmati rangkaian 5G di masa hadapan.
Tidak dapat dipastikan jika tindakan ini akan memberikan kesan terhadap pelaksanaan 5G di Malaysia dalam masa terdekat ini atau kedua-dua pihak masih boleh membincangkan semula demi kebaikan bersama.